
I. Pemergian
Dengan keringat di dahi, hanya duri dan onak
Yang dituai daripada segala jerih payahku hingga kini.
Katakanlah kepadaku, Bapa: Bagaimanakah mungkin
Kegagalan sebanyak ini menyenangkan hati-Mu?
Orang lain lebih mampu menabur benih di tanah-Mu.
Bukankah beban yang kutanggung bagi-Mu melebihi nilai diriku?
Lebih baik aku pergi sekarang
Daripada mengecewakan dan menambah dukacita-Mu.
Segala barang sudah dikemas, dari hadirat-Mu
Aku pergi membawa harta warisanku.
Kenikmatan di negeri asing akan meredakan pedih
Segala jerih payahku yang sia-sia.
Kebuluran telah melaparkan tubuh dan hatiku,
Sejak hari aku pergi meninggalkan-Mu.
Janji-janji kosong telah kupercayai.
Adakah selama ini aku telah diperdaya?
II. Kepulangan
Hati nurani memanggil: “Pulanglah ke rumah!”
Di sana bolehlah aku berharap mencari sesuap roti.
Syurga telah menyaksikan dosa-dosaku ini.
Aku tidak akan lagi makan bersama babi-babi ini.
“Bapa,” akan kukatakan, “dengan segala yang telah kulakukan,
Terlalu mulia bagiku untuk disebut anak-Mu.
Aku berjanji kepada-Mu akan bekerja lebih keras,
Dan menjadi hamba yang lebih baik.”
Saat Engkau melihatku dari jauh
Berpakaian compang-camping dan berparut akibat perbuatanku sendiri,
Kerahiman dari hati kebapaan-Mu
Menyelubungiku dengan pakaian dan memintaku tidak pergi lagi.
Bagiku yang telah mengurangkan separuh harta-Mu,
Adakah Engkau menyembelih anak lembu tambun itu?
Bapa, aku benci akan keadaan diriku kini.
Katakanlah kepadaku, bagaimana Engkau dapat merayakannya?
III. Perayaan
Anak-Ku tersayang, dahulu engkau bersama-Ku,
Ketika Aku bekerja bersamamu dengan sabar,
Menabur benih di setiap tanah,
Dan kehadiranmu membawa sukacita bagi-Ku.
Keresahan hati menjerumuskanmu ke dalam ketakutan.
Ketika engkau pergi, Aku menanti di sini,
Mencarimu di merata tempat, jauh dan dekat,
Agar engkau kembali berada di sisi-Ku.
Kini engkau sudah pulang, hidup dan sihat sejahtera.
Singkirkanlah dusta lama itu untuk selama-lamanya!
Tiada apa-apa dan tiada sesiapa yang perlu engkau takuti,
Jika engkau tetap tinggal bersama-Ku di sini.
Bapa, janganlah biarkan aku menyimpang.
Berilah aku Roti Harianku pada hari ini.
Lebih baik tidur dalam penjagaan-Mu yang terjamin
Daripada berjaga dengan gelisah di tempat lain.
IV. Undangan
Apakah yang kudengar tentang anak yang menyimpang itu?
Sebaik dia pulang, jamuan pun diadakan?
Sepatutnya aku berhenti daripada khidmatku yang memenatkan,
Supaya aku juga dapat menikmati jamuan.
Bekerja keras siang dan malam,
Aku membanting tulang di bawah tatapan-Mu yang sempurna.
Setiap kesilapanku
Mengikatku pada lebih banyak kerja.
Menabur bagi-Ku dengan air mata dan keringat,
Anak-Ku yang dikasihi, janganlah engkau menyesal.
Bukan hasilmu yang begitu Aku perhitungkan,
Melainkan usaha dan kepayahan jerih lelahmu.
Adikmu kini sudah pulang.
Masuklah ke rumah, tempat Aku selama ini merindukan
Engkau duduk makan bersama kami
Dan mengetahui bahawa segala milik-Ku ialah milikmu.
-Paderi Timothy J. Draper
Imej Pilihan: Kepulangan Anak yang Boros, oleh BARTOLOMÉ ESTEBAN MURILLO
