Setiap satu daripada tiga buah buku dalam siri My Catholic Life! boleh digunakan dalam program pembelajaran Katolik selama 8 minggu. Anda boleh mengikuti keseluruhan program selama 24 minggu untuk merangkumi seluruh Katekismus Katolik! Program pembelajaran dalam kumpulan kecil ini sangat sesuai untuk konteks berikut dan juga konteks lain:
Keluarga – Apa kata kumpulkan ahli keluarga untuk mendalami iman kita selama lapan minggu?!
Sahabat – Mulakan kumpulan pembelajaran bersama sahabat anda dan jemput juga beberapa sahabat baharu!
Kejiranan – Ini cara yang sangat baik untuk mewartakan Injil di kawasan kejiranan anda sendiri. Edarkan surat untuk menjemput jiran-jiran. Anda mungkin terkejut melihat betapa ramainya yang berminat!
Paroki – Berbincanglah dengan paderi paroki anda untuk mendapatkan kebenaran memulakan satu atau lebih kumpulan pembelajaran di gereja setempat anda.
R.C.I.A. – Ini bahan yang sangat berguna bagi mereka yang sedang bersiap untuk menjadi Katolik. Ketiga-tiga siri ini, apabila digunakan bersama, akan merangkumi seluruh Katekismus! Lihat Panduan R.C.I.A. untuk maklumat lanjut.
Siapakah yang boleh memulakan program ini? – Program ini direka supaya mudah diatur dan dikendalikan oleh mana-mana umat Katolik. Anda tidak perlu menjadi pakar dalam iman Katolik untuk mengambil inisiatif ini. Jika anda berasa terpanggil untuk mengambil inisiatif ini, maka “Jangan takut” dan mulakanlah!
Apakah yang anda perlukan? – Bahan-bahannya merangkumi salah satu daripada tiga buah buku katekese dalam Siri My Catholic Life! serta panduan pembelajaran di bawah. Buku-buku ini tersedia untuk dibaca di laman web, sebagai eBuku percuma atau dalam bentuk buku berkulit lembut. Para peserta hanya memerlukan senaskhah buku yang sedang dipelajari. Ketua kumpulan akan menggunakan bahan-bahan di bawah. Setiap peserta hendaklah membuat persediaan dengan membaca bab yang akan dibincangkan pada malam tersebut.
Bagaimanakah pertemuan dijalankan? – Menjadi ketua kumpulan kecil tidaklah sesukar yang mungkin disangka pada mulanya. Anda tidak memerlukan latihan khas ataupun latar belakang teologi. Anda hanya memerlukan sedikit kemahiran mengatur dan kesediaan untuk memudah cara program ini. Dari beberapa segi, tugas ini tidak jauh berbeza daripada mengatur suatu majlis.
Pertemuan kumpulan pembelajaran akan berjalan dengan sendirinya jika anda mengikuti format yang disediakan. Biarlah Roh Kudus memimpin, dan anda akan kagum betapa mudahnya pertemuan itu sebenarnya dikendalikan. Berikut ialah format asas bagi setiap pertemuan:
5 minit – Berkumpul & beramah mesra.
10 minit – Doa pembukaan dan bacaan Kitab Suci seperti yang disediakan dalam panduan setiap sesi.
50 minit – Bincangkan soalan-soalan perbincangan satu demi satu. Setiap orang hendaklah dijemput untuk berkongsi sesuatu atau mengajukan soalan jika dia mahu. Elakkan daripada membiarkan seorang dua menguasai perbincangan. Berikan giliran kepada setiap orang dalam bulatan dan jangan takut untuk berkongsi! Pandangan anda mungkin membantu orang lain memahami topik-topik tersebut. Soalan anda juga mungkin merupakan soalan yang ingin ditanyakan oleh orang lain.
20 minit – Berikan giliran kepada setiap orang untuk berkongsi perkara yang paling menarik perhatiannya daripada perbincangan malam itu atau perkara yang paling mengelirukannya, supaya dia dapat memperoleh penjelasan atau pandangan lanjut daripada orang lain.
5 minit – Doa penutup seperti yang diarahkan dalam panduan pembelajaran bagi setiap sesi.
Bagaimanakah saya hendak bermula? – Ada tiga langkah mudah untuk bermula:
- Hantar e-mel kepada sekumpulan orang, hubungi sahabat anda, hebahkan di kawasan kejiranan, siarkan pengumuman dalam buletin paroki, atau buat hantaran di Facebook! Kenal pasti siapa yang berminat dan berikan sedikit galakan kepada mereka. Kumpulkan maklumat hubungan mereka supaya anda dapat memberikan maklumat lanjut setelah mengetahui siapa yang berminat.
- Sama ada sebelum atau selepas anda mengetahui siapa yang berminat, tetapkan masa dan tempat untuk pertemuan mingguan. Pertemuan itu hendaklah berlangsung tidak lebih daripada satu setengah jam. Cuba pilih tempat yang sama untuk lapan minggu berturut-turut. Sampaikan maklumat tersebut kepada kumpulan anda berserta pautan kepada buku yang akan dipelajari. Mereka hendaklah diminta membaca bahagian pengenalan dan Bab Satu sebelum pertemuan pertama.
- Adakan pertemuan pertama anda. Anda boleh menyediakan sedikit makanan ringan dan memulakan pertemuan dengan masa untuk beramah mesra sambil menantikan ketibaan semua peserta. Selepas itu, panduan pembelajaran akan membimbing anda. Ikut sahaja format dalam panduan itu dan nikmatilah pembelajaran iman anda!
