Bahasa Melayu

Hari Ketiga: Pengorbanan

Jumaat selepas Rabu Abu

Hari ini kita berpantang daging. Ini hanyalah suatu pengorbanan yang kecil. Pengorbanan boleh dipersembahkan dengan berat hati dan rasa kesal, atau dengan sukacita dan semangat. Bezanya ialah apabila kita menerima pengorbanan yang sangat kecil ini dengan sukacita dan semangat, sambil menantikan rahmat yang datang daripadanya, maka rahmat yang kita terima jauh berlipat ganda berbanding jika kita melakukan pengorbanan kecil ini dengan separuh hati. Pengorbanan kecil berpantang daging berpotensi membuahkan hasil yang luar biasa dalam hidup kita apabila dipersembahkan dengan rela, penuh sukacita dan dari lubuk jiwa kita.

Persembahkanlah pengorbanan berpantang daging hari ini dalam kesatuan dengan umat Katolik di seluruh dunia. Pengorbanan ini, dan setiap pengorbanan lain yang kita lakukan sepanjang hidup kita, mesti dipersembahkan dengan cara yang sama seperti Yesus mempersembahkan diri-Nya ketika Dia pergi ke padang gurun selama empat puluh hari. Kisah ringkas Markus menyatakan bahawa “Roh mendesak Dia keluar ke padang gurun…” (Markus 1:12). Kisah Matius dan Lukas pula menyatakan bahawa Yesus “dipimpin” oleh Roh Kudus ke padang gurun. Dengan kata lain, Yesus memasuki masa doa dan puasa yang penuh pengorbanan ini bukan kerana Dia dipaksa melakukan sesuatu yang bertentangan dengan kehendak-Nya. Dia tidak melakukannya dengan berat hati dan rasa kesal. Sebaliknya, Dia didesak dari dalam oleh Roh Kudus untuk segera memasuki masa pengorbanan ini. Dia dipimpin, bukan dipaksa, dan Dia mengikuti kehendak Bapa, dalam kesatuan dengan Roh Kudus, dengan penuh kesungguhan dan tekad.

Pada zahirnya, apa-apa tindakan pengorbanan pun mungkin kelihatan negatif pada mulanya. “Saya perlu melakukan ini.” Walaupun setiap pengorbanan yang kita diajak untuk persembahkan mungkin pada mulanya kelihatan seperti suatu beban, hakikat rohani yang lebih mendalam mengajar kita sebaliknya. Jika kita hidup oleh pencurahan Roh Kudus, pandangan kita terhadap hampir segala-galanya dalam hidup akan berubah, termasuk cara kita melihat pengorbanan yang kita diajak untuk lakukan.

Ketika anda mempersembahkan pengorbanan kecil berpantang daging hari ini, benarkanlah Roh Kudus “memimpin” anda, malah “mendesak” anda dari dalam, supaya pengorbanan ini bukan sekadar suatu kewajipan, tetapi juga suatu persembahan yang mendalam secara rohani, yang anda sendiri pilih dan kehendaki dalam kesatuan dengan Yesus. Persembahkanlah pengorbanan ini kepada Allah sebagai satu perkara kecil yang dapat anda lakukan untuk meneladani kehidupan manusiawi Tuhan kita. Persembahkanlah dengan kepercayaan dan keyakinan yang tidak berbelah bahagi kepada Tuhan kita, dengan mengetahui bahawa meneladani-Nya sentiasa merupakan jalan tindakan yang paling mulia. Janganlah melihatnya sebagai sesuatu yang negatif yang anda perlu lakukan. Lihatlah pengorbanan ini sebagai suatu peluang yang kecil, namun mulia, untuk mengungkapkan kasih anda kepada Allah, mengekang keinginan anda yang tidak teratur, dan bertumbuh dalam kebajikan. 

Tuhanku yang rela berkorban, Engkau menjalani pengorbanan selama empat puluh hari di padang gurun dengan penuh tekad dan keteguhan hati. Dengan sukacita yang besar dan sebagai suatu keistimewaan bagi-Mu, Engkau mempersembahkan pengorbanan manusiawi ini kepada Bapa-Mu di Syurga atas dorongan Roh Kudus. Kurniakanlah kepadaku rahmat pada hari ini, dan setiap hari, untuk mempersembahkan setiap pengorbanan dalam hidupku dalam kesatuan dengan kerelaan dan sukacita Hati-Mu yang Mahakudus. Yesus, aku percaya kepada-Mu.

Lihat juga: Renungan Ketiga – 40 Hari di Padang Gurun

Isi Kandungan

Bahan Tambahan untuk Prapaskah