Hari Ahad Kedua Puluh dalam Masa Biasa (Tahun A)
Lalu seorang wanita Kanaan dari daerah itu datang dan berseru, “Kasihanilah aku, ya Tuhan, Anak Daud! Anak perempuanku diseksa oleh roh jahat.” Namun, Yesus tidak menjawabnya sepatah kata pun. Para murid Yesus datang dan meminta kepada-Nya, “Suruhlah dia pergi, kerana dia terus berseru-seru di belakang kita.” Matius 15:22-23
Inilah salah satu kisah menarik yang memperlihatkan betapa mudahnya tindakan Yesus disalahertikan. Dalam kisah ini, Yesus menjawab permohonan wanita itu untuk mendapatkan pertolongan dengan berkata, “Tidak patut mengambil makanan anak-anak lalu melemparkannya kepada anjing.” Aduh! Pada mulanya, kata-kata ini kedengaran kasar. Namun, sudah tentu bukan demikian maksudnya, kerana Yesus tidak pernah bersikap kasar.
Sikap Yesus yang pada mulanya berdiam diri terhadap wanita ini serta kata-kata-Nya yang kelihatan kasar merupakan tindakan yang membolehkan Yesus bukan sahaja memurnikan iman wanita itu, tetapi juga memberinya peluang untuk memperlihatkan imannya agar dapat dilihat oleh semua orang. Pada akhirnya, Yesus berseru, “Hai wanita, besarnya imanmu!”
Jika anda ingin menempuh jalan kekudusan, kisah ini adalah untuk anda. Melalui kisah ini, kita memahami bahawa iman yang besar lahir daripada pemurnian dan kepercayaan yang tidak berbelah bahagi. Wanita ini berkata kepada Yesus, “Tolonglah, Tuhan, kerana anjing pun makan sisa-sisa yang jatuh dari meja tuannya.” Dengan kata lain, dia memohon kerahiman meskipun dirinya tidak layak.
Penting bagi kita untuk memahami bahawa ada kalanya Allah seolah-olah berdiam diri. Ini merupakan tindakan kasih-Nya yang mendalam kerana sebenarnya, Dia sedang mengundang kita untuk berpaling kepada-Nya pada tahap yang amat mendalam. Keheningan Allah membolehkan kita beralih daripada iman yang disuburkan oleh pujian dan emosi kepada iman yang dipupuk oleh kepercayaan yang murni kepada kerahiman-Nya.
Renungkanlah hari ini saat-saat dalam hidup apabila anda merasakan seolah-olah Allah berdiam diri. Ketahuilah bahawa saat-saat itu sebenarnya merupakan undangan untuk menaruh kepercayaan pada tahap yang baharu dan lebih mendalam. Nyatakanlah kepercayaan anda dan biarkan iman anda dimurnikan dengan lebih sempurna supaya Allah dapat melakukan perkara-perkara besar dalam diri anda dan melalui anda!
Tuhan, aku mengakui bahawa dalam segala hal, aku tidak layak menerima rahmat dan kerahiman-Mu dalam hidupku. Namun, aku juga mengakui bahawa kerahiman-Mu melampaui segala pengertian dan begitu besar sehingga Engkau ingin mencurahkannya ke atasku, seorang pendosa yang hina dan tidak layak. Aku memohon kerahiman itu, ya Tuhan yang kukasihi, dan aku menaruh sepenuh kepercayaanku kepada-Mu. Yesus, aku sungguh percaya kepada-Mu.
Apabila Iman Dicabar
Hari Ahad Kedua Puluh dalam Masa Biasa (Tahun B)
Orang-orang Yahudi bertengkar sesama sendiri, dengan berkata, “Bagaimanakah orang ini dapat memberikan dagingnya kepada kita untuk dimakan?” Yesus berkata kepada mereka, “Amin, amin, Aku berkata kepadamu, jika kamu tidak makan daging Anak Manusia dan minum darah-Nya, kamu tidak mempunyai hidup dalam dirimu. Sesiapa yang makan daging-Ku dan minum darah-Ku mempunyai hidup yang kekal, dan Aku akan membangkitkannya pada hari terakhir. Kerana daging-Ku ialah makanan yang sejati, dan darah-Ku ialah minuman yang sejati. Sesiapa yang makan daging-Ku dan minum darah-Ku tinggal di dalam Aku dan Aku di dalam dia.” Yohanes 6:52-56
Ini bukan sahaja ajaran yang penuh kuasa tentang Ekaristi Mahakudus, tetapi juga ajaran yang penuh kuasa tentang cara kita menghadapi tentangan orang lain. Yesus dapat melihat bahawa ajaran-Nya tentang Tubuh dan Darah-Nya sedang menimbulkan kekecohan yang agak besar. Jadi, apakah yang dilakukan-Nya? Adakah Dia berundur dan bertindak dengan cara yang “menjaga hati semua pihak” untuk cuba meredakan ketegangan? Sama sekali tidak. Sebaliknya, Dia memperdalam dan memperjelas ajaran-Nya yang murni dan kudus tentang Ekaristi. “Sesungguhnya, sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, jika kamu tidak makan daging Anak Manusia dan minum darah-Nya, kamu tidak mempunyai hidup dalam dirimu.” Sungguh menggentarkan.
Bagi kita yang mendengarnya hari ini, hal ini mungkin tidak begitu mengejutkan seperti pada waktu itu. Penting bagi kita untuk cuba memahami konteks situasi ini supaya kita mendapat gambaran yang jelas tentang apa yang sedang berlaku. Yesus menawarkan anugerah terbesar yang pernah dikenal oleh umat manusia. Dia menawarkan diri-Nya secara sakramental dalam rupa roti dan wain. Hal ini hanya dapat diterima dengan iman. Mereka yang mendengar harus mengenal pasti dalam hati mereka bahawa apa yang disampaikan oleh Yesus kepada mereka adalah benar. Mereka harus mengenal pasti kebenaran ini berdasarkan iman. Mereka yang menerimanya kemungkinan besar tidak memahami sepenuhnya maksud Yesus, tetapi mereka tetap percaya. Mereka yang tidak beriman menolak ajaran-Nya dan menganggap Dia gila.
Inilah konteks Yesus meneruskan ajaran-Nya. Ketika berhadapan dengan tentangan keras daripada sesetengah orang dan penerimaan dengan iman daripada yang lain, Dia memilih untuk menyuburkan mereka yang beriman dan tidak menghiraukan mereka yang mengkritik.
Begitu juga yang berlaku kepada kita. Apabila benih iman mula nyata dalam hati kita, Yesus melihat iman kita, memupuknya dan membantunya bertumbuh. Bagi pihak kita pula, kita mesti berusaha agar benih iman yang telah ditanam itu turut dipupuk supaya bertumbuh semakin kuat.
Apabila iman kita bertumbuh, kita juga akan dikurniakan kekuatan dan keyakinan yang dimiliki Yesus, dan kita akan dapat mengabaikan ejekan serta kebodohan orang di sekeliling kita. Kita tidak akan tunduk kepada percaturan politik dan manipulasi zaman kita; sebaliknya, setiap hari kita akan memperdalam keyakinan kita dan membiarkannya bersinar.
Renungkanlah hari ini apa jua keadaan sukar yang anda hadapi apabila iman anda dicabar. Semakin anda menghayati iman anda dan mencintainya secara terbuka, semakin anda akan menonjol dan berdepan dengan kemungkinan penganiayaan. Adakah anda bersedia untuk bersama Tuhan kita tetap teguh menghadapi segala yang cuba memadamkan keindahan iman anda?
Tuhan, bantulah aku agar kuat dan yakin kepada-Mu. Bantulah aku mendengar suara-Mu dan menyahut bisikan kebenaran serta kasih-Mu. Dalam menghadapi keraguan dan keadaan yang tidak teratur, bantulah aku membawa sabda-Mu yang memberikan hidup baharu. Yesus, aku percaya kepada-Mu.
Api Iman yang Membara
Hari Ahad Kedua Puluh dalam Masa Biasa (Tahun C)
Yesus berkata kepada murid-murid-Nya: “Aku datang untuk menyalakan api di bumi, dan betapa Aku menginginkan agar api itu sudah pun membara!” Lukas 12:49
Petikan ini menyingkapkan dua perkara kepada kita. Pertama, petikan ini menyingkapkan niat Yesus untuk “menyalakan api di bumi.” Kedua, petikan ini menyingkapkan keinginan-Nya agar “api itu sudah pun membara.”
Apakah maksud Yesus apabila Dia berkata bahawa Dia datang untuk menyalakan api di dunia? Api ialah gambaran yang kuat dan dapat memberi kita banyak pemahaman tentang kehidupan Kristian. Pertama, api melalap. Begitu juga dengan Kristus. Dia datang untuk melalap seluruh diri kita. Dia datang untuk mengubah kehidupan kita yang kecil ini menjadi api yang membara. Hal ini menunjukkan bahawa kehidupan setiap seorang daripada kita mempunyai potensi yang besar. Kita berpotensi untuk menjadi sesuatu yang sama sekali baharu jika kita membenarkan percikan rahmat menyalakan jiwa kita.
Api juga berpotensi membawa perubahan. Bahangnya menghangatkan kita, cahayanya membolehkan kita melihat dalam kegelapan, dan tenaganya menghasilkan kuasa dalam pelbagai cara untuk membantu kita dalam kehidupan seharian. Begitu juga dengan rahmat. Rahmat Allah mengubah hati kita yang dingin, membimbing kita melalui kegelapan hidup dan menyediakan segala yang kita perlukan untuk menjalani kehidupan yang membuahkan hasil.
Menarik untuk diperhatikan bahawa Yesus bukan sekadar berkata bahawa Dia datang untuk menyalakan api di bumi; sebaliknya, Dia berkata bahawa Dia menginginkan api itu sudah pun marak menyala. Keinginan Tuhan kita ini merupakan undangan untuk keluar daripada kehidupan yang biasa-biasa dan suam-suam kuku kepada penghayatan hidup Kristian yang radikal. Kita tidak dipanggil untuk diubah hanya sebahagiannya, atau bahkan sebahagian besarnya sahaja. Tidak, kita dipanggil untuk menjadi api iman yang marak menyala, diubah oleh Allah untuk membawa perubahan yang nyata di dunia!
Renungkanlah hari ini api yang ada dalam jiwa anda sendiri. Sejauh manakah terangnya api itu menyala? Anda perlu menyemarakkan api itu setiap hari, mengipasinya agar terus menyala dengan komitmen sepenuh hati. Berusahalah untuk menjadi api membara yang Tuhan kehendaki daripada anda, dan anda akan kagum melihat betapa menyeluruhnya diri anda dapat diubah oleh rahmat.
Tuhan, nyalakanlah hatiku dengan sinar kasih dan kerahiman-Mu. Bantulah aku agar terbuka kepada perubahan hidup yang menyeluruh sebagaimana yang Engkau kehendaki daripadaku. Aku menyerahkan diriku kepada-Mu tanpa sebarang batasan, ya Tuhan yang kukasihi. Gunakanlah aku menurut kehendak-Mu. Yesus, aku percaya kepada-Mu.
Adakah Anda Mahu Menjadi Kaya?
Hari Isnin dalam Minggu Kedua Puluh Masa Biasa
“Jika engkau ingin menjadi sempurna, pergilah, juallah segala milikmu dan berikanlah kepada orang miskin, maka engkau akan mempunyai harta di syurga. Kemudian datanglah, ikutlah Aku.” Apabila orang muda itu mendengar pernyataan ini, dia pergi dengan sedih, kerana dia mempunyai banyak harta. Matius 19:21-22
Syukurlah Yesus tidak mengatakan hal ini kepada anda atau saya! Betul, bukan? Atau adakah Dia sebenarnya mengatakannya kepada kita? Adakah hal ini terpakai kepada kita semua jika kita ingin menjadi sempurna? Jawapannya mungkin mengejutkan anda.
Memang benar, Yesus memanggil sesetengah orang untuk benar-benar menjual segala harta milik mereka dan memberikan hasilnya kepada orang lain. Mereka yang menyahut panggilan ini menemukan kebebasan yang besar apabila mereka melepaskan keterikatan pada segala harta benda. Panggilan hidup mereka menjadi tanda bagi kita semua tentang panggilan batin yang radikal yang telah diberikan kepada setiap seorang daripada kita. Tetapi bagaimana pula dengan kita yang lain? Apakah panggilan batin yang radikal yang diberikan oleh Tuhan kita kepada kita? Panggilan itu ialah panggilan kepada kemiskinan rohani. Dengan “kemiskinan rohani,” yang kita maksudkan ialah setiap seorang daripada kita dipanggil untuk melepaskan keterikatan pada perkara-perkara duniawi, pada tahap yang sama seperti mereka yang dipanggil untuk hidup miskin secara nyata. Satu-satunya perbezaan ialah panggilan yang satu bersifat batin dan lahiriah, manakala panggilan yang lain hanya bersifat batin. Namun, panggilan itu mestilah sama radikalnya.
Bagaimanakah rupa kemiskinan batin? Ia merupakan salah satu Sabda Bahagia. “Berbahagialah mereka yang miskin dalam roh,” seperti yang dikatakan oleh Santo Matius, dan “Berbahagialah mereka yang miskin,” seperti yang dikatakan oleh Santo Lukas. Kemiskinan rohani bermaksud kita menemukan berkat kekayaan rohani apabila kita melepaskan keterikatan pada tarikan kebendaan zaman ini. Tidak, “benda-benda” material itu bukanlah jahat. Itulah sebabnya tidak salah untuk memiliki harta peribadi. Namun, agak lazim bagi kita untuk juga mempunyai keterikatan yang kuat pada perkara-perkara dunia ini. Terlalu kerap kita menginginkan lebih banyak lagi dan terperangkap dalam pemikiran bahawa lebih banyak “benda” akan membahagiakan kita. Itu tidak benar dan jauh di lubuk hati, kita mengetahuinya, tetapi kita masih juga terjerumus ke dalam perangkap dengan bertindak seolah-olah lebih banyak wang dan harta akan memuaskan hati kita. Seperti yang dinyatakan dalam sebuah katekismus Rom lama, “Orang yang mempunyai wang tidak pernah berasa wangnya cukup.”
Renungkanlah hari ini panggilan yang jelas yang telah kamu terima untuk hidup di dunia ini tanpa menjadi terikat pada perkara-perkara dunia ini. Harta benda hanyalah sarana untuk mencapai tujuan, iaitu menjalani kehidupan yang kudus dan memenuhi tujuan hidupmu. Ini bererti kamu mempunyai apa yang kamu perlukan, tetapi juga bererti kamu berusaha untuk mengelakkan sesuatu yang berlebihan dan, khususnya, mengelakkan keterikatan batin pada harta duniawi.
Tuhan segala kekayaan, dengan rela hati aku melepaskan segala yang ada padaku dan yang kumiliki. Aku mempersembahkannya kepada-Mu sebagai korban rohani. Terimalah segala yang kumiliki dan bantulah aku menggunakannya hanya menurut kehendak-Mu. Dalam kebebasan daripada keterikatan itu, semoga aku menemukan kekayaan sejati yang Engkau sediakan bagiku. Yesus, aku percaya kepada-Mu.
Menjadi yang Pertama!
Hari Selasa dalam Minggu Kedua Puluh Masa Biasa
“Tetapi banyak orang yang pertama akan menjadi yang terakhir, dan yang terakhir akan menjadi yang pertama.” Matius 19:30
Ayat ringkas yang terselit pada penghujung Injil hari ini mengungkapkan banyak perkara. Ayat ini mengungkapkan pertentangan antara kejayaan duniawi dengan kejayaan abadi. Begitu kerap kita mengejar kejayaan duniawi dan gagal mencari kekayaan yang kekal selama-lamanya.
Marilah kita mulakan dengan “banyak orang yang pertama”. Siapakah mereka ini? Untuk memahaminya, kita mesti memahami perbezaan antara “dunia” dengan “Kerajaan Allah”. Dunia merujuk kepada populariti yang semata-mata sia-sia dalam sesuatu budaya. Kejayaan, prestij, kemegahan diri dan hal-hal seumpamanya mengiringi populariti dan kejayaan duniawi. Si jahat ialah penguasa dunia ini dan sering berusaha mengangkat mereka yang melayani kehendaknya yang tidak suci. Namun, melalui tindakannya itu, ramai antara kita terpikat dan tertarik kepada kemasyhuran seperti ini. Hal ini menjadi masalah, khususnya apabila kita mula mendasarkan identiti kita pada pandangan orang lain.
“Ramai yang terdahulu” ialah mereka yang diangkat oleh dunia sebagai ikon dan teladan kejayaan yang dipandang tinggi ini. Ini merupakan pernyataan umum yang sudah tentu tidak terpakai kepada setiap situasi dan individu tertentu. Namun, kecenderungan umum itu harus diakui. Dan menurut petikan Kitab Suci ini, mereka yang terjerat dalam kehidupan seperti ini akan menjadi yang “terakhir” dalam Kerajaan Syurga.
Bandingkanlah hal ini dengan mereka yang menjadi yang “pertama” dalam Kerajaan Allah. Jiwa-jiwa yang kudus ini mungkin dihormati di dunia ini, mungkin juga tidak. Sesetengah orang mungkin melihat kebaikan mereka dan menghormati mereka (seperti Santa Bunda Teresa dihormati), tetapi mereka sangat kerap dipandang rendah dan dianggap tidak diingini menurut ukuran duniawi.
Apakah yang lebih penting? Secara jujur, apakah yang lebih kamu inginkan untuk selama-lamanya? Adakah kamu lebih suka dipandang baik dalam kehidupan ini, sekalipun hal itu bererti berkompromi dalam soal nilai dan kebenaran? Atau adakah pandanganmu tertumpu pada kebenaran dan ganjaran abadi?
Renungkanlah hari ini matlamat mengumpulkan harta di Syurga dan ganjaran abadi yang dijanjikan kepada mereka yang hidup dengan setia. Tidak salah jika orang lain di dunia ini memandang baik terhadapmu, tetapi jangan sekali-kali membiarkan keinginan itu menguasaimu atau mengalihkan pandanganmu daripada perkara yang abadi. Renungkanlah sejauh mana kamu melakukannya dengan baik dan berusahalah menjadikan ganjaran Syurga satu-satunya matlamatmu.
Tuhanku yang kekal, bantulah aku mencari Engkau dan Kerajaan-Mu melebihi segala-galanya. Semoga menyenangkan hati-Mu dan melaksanakan kehendak-Mu yang teramat suci menjadi satu-satunya keinginanku dalam hidup. Bantulah aku melepaskan keprihatinan yang tidak sihat terhadap kemasyhuran dan populariti duniawi, agar aku hanya mengambil berat tentang pandangan-Mu. Kepada-Mu, ya Tuhan yang kukasihi, aku menyerahkan seluruh diriku. Yesus, aku percaya kepada-Mu.
Kesyukuran Mengalahkan Iri Hati
Hari Rabu dalam Minggu Kedua Puluh Masa Biasa
“Adakah kamu iri hati kerana aku murah hati?” Matius 20:15b
Ayat ini berasal daripada perumpamaan tentang seorang pemilik tanah yang mengupah pekerja pada lima waktu yang berbeza sepanjang hari. Kumpulan pertama diupah pada waktu subuh, kumpulan kedua pada pukul 9 pagi, dan yang lain pada tengah hari, pukul 3 petang dan pukul 5 petang. Mereka yang diupah pada waktu subuh bekerja kira-kira dua belas jam, manakala mereka yang diupah pada pukul 5 petang bekerja hanya satu jam. “Masalahnya” ialah pemilik itu membayar semua pekerja jumlah upah yang sama, seolah-olah mereka semua bekerja sehari penuh selama dua belas jam.
Pada mulanya, pengalaman ini boleh menggoda sesiapa sahaja untuk berasa iri hati. Iri hati ialah sejenis kesedihan atau kemarahan terhadap nasib baik orang lain. Mungkin kita semua dapat memahami perasaan iri hati mereka yang bekerja sepanjang hari. Mereka bekerja selama dua belas jam penuh dan menerima upah penuh mereka. Namun, mereka berasa iri hati kerana tuan tanah itu memperlakukan mereka yang bekerja hanya sejam dengan begitu murah hati sehingga mereka menerima upah sehari penuh.
Cubalah bayangkan diri anda dalam perumpamaan ini dan renungkan bagaimana anda akan mengalami tindakan murah hati pemilik kebun itu terhadap orang lain. Adakah anda akan melihat kemurahan hatinya dan bersukacita bagi mereka yang dilayan dengan begitu baik? Adakah anda akan bersyukur bagi pihak mereka kerana mereka telah menerima pemberian istimewa ini? Atau adakah anda juga akan berasa iri hati dan kesal? Sejujurnya, kebanyakan daripada kita akan bergelut dengan perasaan iri hati dalam keadaan ini.
Namun, kesedaran itu ialah suatu rahmat. Menyedari dosa iri hati yang buruk itu merupakan suatu rahmat. Walaupun kita tidak benar-benar berada dalam keadaan yang mendorong kita bertindak menurut perasaan iri hati itu, menyedari bahawa perasaan itu ada dalam diri kita merupakan suatu rahmat.
Renungkanlah pada hari ini sama ada anda melihat sebarang kesan iri hati dalam hati anda. Dapatkah anda bersukacita dengan tulus dan dipenuhi rasa syukur yang mendalam atas kejayaan orang lain? Dapatkah anda dengan tulus bersyukur kepada Allah apabila orang lain diberkati dengan kemurahan hati sesama yang tidak disangka-sangka dan tidak selayaknya mereka terima? Jika hal ini suatu pergumulan bagi anda, sekurang-kurangnya bersyukurlah kepada Allah kerana anda disedarkan tentangnya. Iri hati ialah dosa, dan dosa ini membuat kita tidak berpuas hati dan sedih. Anda patut bersyukur kerana dapat melihatnya, sebab itulah langkah pertama untuk mengatasinya.
Tuhanku yang amat murah hati, aku memang berdosa dan dengan jujur aku mengakui bahawa ada sedikit iri hati dalam hatiku. Terima kasih kerana membantu aku menyedari hal ini, dan bantulah aku kini menyerahkannya kepada-Mu. Gantikanlah perasaan itu dengan rasa syukur yang tulus atas limpahan rahmat dan kerahiman yang Engkau kurniakan kepada orang lain. Yesus, aku percaya kepada-Mu.
Tanpa Kasih…
Hari Khamis dalam Minggu Kedua Puluh Masa Biasa
“Hamba-hamba itu pun pergi ke jalan-jalan dan mengumpulkan semua orang yang mereka temui, baik yang jahat mahupun yang baik, lalu dewan itu dipenuhi tetamu. Tetapi apabila raja masuk untuk bertemu dengan para tetamu, baginda melihat seorang lelaki di situ yang tidak memakai pakaian pesta perkahwinan. Baginda berkata kepadanya, ‘Sahabatku, bagaimana engkau dapat masuk ke sini tanpa pakaian pesta perkahwinan?’ Tetapi lelaki itu terdiam. Lalu raja berkata kepada para pelayannya, ‘Ikatlah tangan dan kakinya, dan campakkan dia ke dalam kegelapan di luar; di sanalah akan terdapat ratapan dan kertakan gigi.’ Ramai yang diundang, tetapi sedikit yang dipilih.” Matius 22:10-14
Hal ini mungkin agak mengejutkan pada mulanya. Dalam perumpamaan ini, raja mengundang ramai orang ke jamuan perkahwinan puteranya. Ramai yang menolak undangan itu. Kemudian dia menyuruh hamba-hambanya keluar untuk mengumpulkan sesiapa sahaja yang sudi datang, lalu dewan itu pun penuh. Tetapi ketika raja masuk, ada seorang yang tidak mengenakan pakaian perkahwinan, dan kita dapat melihat apa yang terjadi kepadanya dalam petikan di atas.
Sekali lagi, apabila dibaca buat kali pertama, hal ini mungkin agak mengejutkan. Adakah lelaki ini benar-benar patut diikat tangan dan kakinya lalu dicampakkan ke dalam kegelapan di luar, tempat terdapat ratapan dan kertakan gigi, hanya kerana dia tidak memakai pakaian yang sesuai? Sudah tentu tidak.
Untuk memahami perumpamaan ini, kita perlu memahami makna simbolik pakaian perkahwinan itu. Pakaian ini melambangkan seseorang yang mengenakan Kristus dan, secara khususnya, seseorang yang oleh sebab itu dipenuhi kasih. Ada pengajaran yang sangat menarik untuk dipelajari daripada petikan ini.
Pertama, kehadiran lelaki ini di jamuan perkahwinan bererti dia telah menyahut undangan itu. Ini menunjukkan iman. Oleh itu, lelaki ini memang melambangkan seseorang yang beriman. Kedua, ketiadaan pakaian perkahwinan bererti dia ialah seseorang yang beriman dan mempercayai segala yang difirmankan Allah, tetapi tidak membiarkan iman itu meresapi hati dan jiwanya sehingga menghasilkan pertobatan sejati dan, dengan itu, kasih sejati. Ketiadaan kasih dalam diri pemuda itulah yang menyebabkan dia dihukum.
Perkara yang menarik ialah kita mungkin mempunyai iman, tetapi tidak mempunyai kasih. Iman bererti mempercayai apa yang diwahyukan Allah kepada kita. Namun, roh-roh jahat pun percaya! Kasih menuntut kita menerima kebenaran itu dalam batin dan membiarkannya mengubah hidup kita. Perkara ini penting untuk difahami kerana kadangkala kita juga boleh bergelut dengan keadaan yang sama. Ada kalanya kita mendapati bahawa kita percaya pada peringkat iman, tetapi tidak menghayatinya dalam kehidupan. Kedua-duanya diperlukan untuk menjalani kehidupan yang benar-benar kudus.
Renungkanlah pada hari ini iman anda akan segala yang telah difirmankan Allah, serta kasih yang diharapkan terhasil daripadanya dalam hidup anda. Menjadi seorang Kristian bererti anda membiarkan iman anda meresap daripada akal ke dalam hati dan kehendak anda.
Tuhan sumber segala kasih, semoga aku mempunyai iman yang mendalam kepada-Mu dan kepada segala yang telah Engkau firmankan. Semoga iman itu meresap ke dalam hatiku dan menghasilkan kasih kepada-Mu serta kepada sesama. Yesus, aku percaya kepada-Mu.
Memberikan Komitmen Sepenuhnya!
Hari Jumaat dalam Minggu Kedua Puluh Masa Biasa
Apabila orang Farisi mendengar bahawa Yesus telah membungkam orang Saduki, mereka berkumpul, lalu seorang daripada mereka, seorang ahli hukum Taurat, menguji-Nya dengan bertanya, “Guru, perintah manakah dalam hukum Taurat yang paling utama?” Yesus berkata kepadanya, “Kasihilah Tuhan, Allahmu, dengan segenap hatimu, dengan segenap jiwamu, dan dengan segenap akal budimu.” Matius 22:34-37
“Dengan segenap hatimu, dengan segenap jiwamu, dan dengan segenap akal budimu.” Dengan kata lain, dengan seluruh dirimu!
Bagaimanakah kasih yang begitu mendalam ini dinyatakan secara nyata? Hal ini mudah menjadi suatu gagasan yang luhur atau sekadar kata-kata khutbah, tetapi menjadikan gagasan atau khutbah ini suatu kesaksian melalui tindakan kita merupakan suatu cabaran. Adakah anda mengasihi Allah dengan seluruh diri anda? Dengan setiap bahagian diri anda? Apakah sebenarnya maksudnya?
Mungkin kasih yang begitu mendalam ini akan terungkap dalam pelbagai cara. Berikut ialah beberapa sifat yang akan nyata dalam kasih ini:
1) Penyerahan diri: Menyerahkan hidup kita kepada Allah ialah suatu tuntutan kasih. Allah itu sempurna dan, oleh itu, mengasihi-Nya menuntut kita untuk melihat kesempurnaan-Nya, memahami kesempurnaan ini, dan bertindak selaras dengannya. Apabila kita melihat dan memahami siapa Allah itu, kesannya ialah kita mesti mempercayai-Nya sepenuhnya dan tanpa sebarang keraguan. Allah itu maha kuasa dan maha pengasih. Allah yang maha kuasa dan maha pengasih mesti dipercayai tanpa batas.
2) Api dalam batin: Penyerahan diri kita akan menyalakan api dalam hati kita! Ini bermakna kita akan melihat Roh Kudus melakukan perkara-perkara yang menakjubkan dalam jiwa kita. Kita akan melihat Allah bertindak dan mengubah kita. Hal ini akan melampaui apa sahaja yang dapat kita lakukan terhadap diri kita sendiri. Allah akan mengambil alih dan melakukan perkara-perkara besar dalam diri kita, mengubah hidup kita, sama seperti api yang marak akhirnya meliputi segala-galanya.
3) Tindakan yang melampaui kemampuan anda: Kesan api Roh Kudus yang marak dalam diri kita ialah Allah akan melakukan perkara-perkara besar dalam kehidupan orang di sekeliling kita melalui diri kita. Kita akan menyaksikan Allah berkarya dan berasa kagum akan apa yang dilakukan-Nya. Kita sendiri akan menyaksikan kuasa-Nya yang menakjubkan dan kasih-Nya yang mengubah hidup, dan semua ini akan berlaku melalui diri kita. Betapa besarnya anugerah ini!
Renungkanlah hari ini kasih anda yang menyeluruh kepada Allah. Adakah anda menyerahkan diri sepenuhnya? Adakah anda benar-benar komited untuk melayani Tuhan kita dan melaksanakan kehendak-Nya yang kudus? Jangan ragu-ragu. Penyerahan ini sungguh berbaloi!
Tuhan, bantulah aku mengasihi-Mu dengan segenap hati, akal budi, jiwa dan kekuatanku. Bantulah aku mengasihi-Mu dengan seluruh diriku. Dalam kasih itu, aku berdoa agar Engkau mengubah aku menjadi alat rahmat-Mu. Yesus, aku percaya kepada-Mu!
Bonda Kita yang Terberkati
Hari Sabtu dalam Minggu Kedua Puluh Masa Biasa
“Ahli-ahli Taurat dan orang Farisi telah menduduki kerusi Musa. Oleh itu, lakukanlah dan patuhilah segala yang mereka katakan kepadamu, tetapi janganlah mencontohi perbuatan mereka. Sebab mereka mengajar tetapi tidak mengamalkannya. Mereka mengikat beban-beban berat yang sukar dipikul lalu meletakkannya di atas bahu orang, tetapi mereka sendiri tidak mahu menggerakkan satu jari pun untuk mengalihkannya. Segala perbuatan mereka dilakukan supaya dilihat orang. Mereka melebarkan kotak-kotak ayat suci yang dipakai pada tubuh mereka dan memanjangkan jumbai-jumbai pakaian mereka. Mereka suka akan tempat kehormatan dalam jamuan, tempat duduk kehormatan di rumah ibadat, sapaan hormat di pasar, dan panggilan ‘Rabi.’” Matius 23:2-7
Menurut tradisi, hari Sabtu dikhususkan untuk menghormati Bonda kita yang Terberkati. Alangkah besarnya perbezaan antara orang Farisi dengan Bonda kita yang Terberkati, Ratu Syurga dan Bumi!
Pertama, kita bermula dengan orang Farisi. Mereka berulang kali dikecam oleh Yesus kerana keangkuhan dan sikap menganggap diri sendiri benar. Mereka mengucapkan doa kepada diri mereka sendiri, mencari tempat kehormatan, menuntut penghormatan daripada orang lain dan sepenuhnya tertumpu pada diri sendiri. Kecaman Yesus yang berulang kali terhadap mereka merupakan tindakan kerahiman-Nya. Itulah cara-Nya berusaha membebaskan mereka daripada keangkuhan mereka, dengan membantu mereka melihat cahaya kebenaran.
Kedua, kita membandingkan hal ini dengan Bonda kita yang Terberkati. Kerendahan hatinya melampaui segala yang dapat dibayangkan. Dialah Yang Dikandung Tanpa Noda…sempurna dalam segala hal. Segala kebajikan ada dalam jiwanya. Dialah Hawa Baharu, Bonda baharu bagi semua yang hidup. Dan dia dihormati selama-lamanya sebagai Ratu Syurga dan Bumi.
Perbezaan yang ketara ini dapat dilihat dalam cara dia menjalani hidupnya. Hal ini nyata dalam hakikat bahawa dia mempunyai segala hak untuk meninggikan dirinya serta mengharapkan penghormatan dan penghargaan sepanjang hidupnya. Namun, dalam kerendahan hatinya, dia tidak menuntut hak sedemikian. Dia membiarkan dirinya tetap tersembunyi, malah diejek kerana mengandung di luar nikah. Dalam segala hal, dia tidak seperti orang Farisi.
Namun kini, untuk selama-lamanya, Allah telah meninggikannya. Dia akan selama-lamanya dipandang sebagai Ratu serta dihormati dan dikasihi oleh semua. Segala kebajikannya akan terus bersinar selama-lamanya kerana dia telah diberi ganjaran dan ditinggikan untuk dilihat oleh semua.
Renungkanlah hari ini siapa yang lebih anda contohi. Adakah anda lebih menyerupai orang Farisi yang berusaha meninggikan diri mereka? Atau adakah anda lebih menyerupai Bonda kita yang Terberkati yang merendahkan dirinya? Pilihlah untuk meneladani Bonda kita yang Terberkati, dan Allah akan memberikan ganjaran abadi kepada anda juga!
Tuhan, semoga aku melihat keindahan dan keagungan jiwa ibu-Mu. Semoga aku mengasihi dan menghormatinya. Dan dalam kasih serta penghormatan itu, semoga aku meneladaninya dalam segala hal. Yesus, aku percaya kepada-Mu.
Juga Tersedia dalam Edisi Kulit Lembut & eBuku
