Bahasa Melayu

S. Rosari pada Cermin Pandang Belakang

S. Saya pernah melihat orang menggantung rosari pada cermin pandang belakang di dalam kereta mereka, dan ada juga yang memakai rosari di leher. Adakah perbuatan itu dibenarkan?

J. Pertama sekali, izinkan saya memberikan jawapan yang mudah: pada pendapat saya, amalan-amalan ini tidak menjadi masalah. Saya mengenali ramai orang warak yang mengasihi Tuhan kita dan Bonda-Nya yang Terberkati, yang menggantung rosari pada cermin pandang belakang kereta mereka. Bagi mereka, ini merupakan cara untuk menampakkan kasih mereka kepada Maria agar dapat dilihat oleh semua orang. Perkara yang sama juga boleh dikatakan tentang mereka yang memakai rosari di leher. Jika seseorang memilih untuk melakukan salah satu daripada amalan ini, kemungkinan besar dia melakukannya kerana devosi dan kasihnya kepada Bonda kita yang Terberkati. Walaupun saya tidak menggantung rosari pada cermin kereta atau memakainya di leher, saya sentiasa menyimpannya di dalam poket. Pada waktu malam, saya tidur dengan rosari melilit pergelangan tangan saya. Saya rasa menyimpan rosari dekat dengan diri kita serupa dengan memakai salib atau skapular, atau menggantung gambar suci di dalam bilik kita. Rosari ialah benda yang telah diberkati, maka atas sebab itu, baiklah kita menyimpannya dekat dengan kita.

Perlu juga dikatakan bahawa Rosari, pertama-tamanya, ialah sarana doa dan salah satu doa terbaik yang dapat kita doakan. Daripada menerangkan Rosari dengan kata-kata saya sendiri, izinkan saya berkongsi beberapa petikan kegemaran saya daripada para santo agung tentang rosari.

“Sesiapa yang berdoa Rosari setiap hari tidak akan sekali-kali disesatkan. Inilah pernyataan yang dengan rela hati akan saya tandatangani dengan darah saya sendiri.” St. Louis de Montfort

“Daripada segala doa, rosari ialah doa yang paling indah dan paling kaya dengan rahmat…cintailah Rosari dan doakannya setiap hari dengan penuh devosi.”  Santo Paus Pius X

“Alangkah indahnya keluarga yang berdoa Rosari setiap petang.” Santo Paus Yohanes Paulus II

“Rosari ialah doa kegemaran saya. Doa yang sungguh mengagumkan! Mengagumkan dalam kesederhanaan dan kedalamannya.” Santo Paus Yohanes Paulus II

“Rosari ialah khazanah yang tidak ternilai harganya, yang diilhamkan oleh Allah.” Santo Louis de Montfort

“Tiada cara yang lebih pasti untuk memohon berkat Allah turun ke atas keluarga… daripada berdoa Rosari setiap hari.” Paus Pius XII

“Rosari ialah bentuk doa yang paling luhur dan cara yang paling berkesan untuk memperoleh kehidupan kekal. Rosari ialah penawar bagi segala keburukan kita, akar segala berkat kita. Tiada cara berdoa yang lebih luhur.” Paus Leo XIII

“Berikanlah kepada saya sepasukan tentera yang berdoa Rosari, dan saya akan menakluk dunia.” Beato Paus Pius IX

Jika kamu menginginkan kedamaian dalam hatimu, dalam rumah tanggamu, dan di negaramu, berkumpullah setiap petang untuk berdoa Rosari. Jangan biarkan walau sehari pun berlalu tanpa mendoakannya, betapa pun beratnya beban kerisauan dan pekerjaanmu.” Paus Pius XI

“Bonda Maria tidak pernah menolak permohonan rahmat saya melalui doa rosari.” Santo (Padre) Pio dari Pietrelcina

“Cara berdoa yang paling agung ialah berdoa Rosari.” Santo Fransiskus de Sales

“Suatu hari nanti, melalui Rosari dan Skapular, Bonda Maria akan menyelamatkan dunia.” Santo Dominikus


Lagi Soal Jawab Katolik