S. Bagaimana pula dengan ‘mesej berantai’ yang diteruskan atau dihantar dengan mengatakan bahawa jika anda menyampaikannya kepada 12 atau 15 orang atau lebih kurang seramai itu, anda akan menerima mukjizat? Jika anda tidak menyampaikannya, sesuatu yang buruk akan berlaku kepada anda. Bagaimana hendak menjelaskannya? Terima kasih.
J. Jika anda meluangkan masa menggunakan e-mel atau media sosial, kemungkinan besar anda pernah menemui e-mel atau hantaran yang menjanjikan sesuatu kepada anda jika anda menyampaikan mesej itu kepada orang lain. Sebagai contoh, mungkin ada doa khas yang dihantar kepada anda dengan pesanan di bahagian bawah: “Sampaikan ini kepada dua belas orang sahabat dan anda akan menerima jawapan kepada doa anda dalam tempoh dua belas hari.”
Jadi, adakah perkara ini sah? Tidak. Ini ialah kepercayaan karut. Namun begitu, ada satu perkara yang wajar diperjelaskan. Tetapi terlebih dahulu, mari kita lihat unsur kepercayaan karut itu.
Allah tidak mensyaratkan anda meneruskan e-mel kepada beberapa orang sahabat untuk menerima rahmat dan kerahiman-Nya. Mungkin doa yang disertakan itu cukup indah dan baik untuk didoakan. Namun demikian, kesan doa itu tidak bergantung pada sama ada anda mengikuti arahan dalam e-mel tersebut. Hanya Kristus dan Gereja-Nya mempunyai kuasa untuk mengaitkan rahmat dengan doa-doa. Gereja berbuat demikian melalui indulgensi. Untuk maklumat lanjut tentang indulgensi, klik di sini: S. Indulgensi. Jika anda menerima salah satu e-mel seperti ini, mungkin lebih baik anda menyampaikan bahagian doanya sahaja tetapi membuang janji atau amarannya.
Berkenaan penjelasan yang disebutkan di atas, memang ada wahyu peribadi tertentu yang diberikan kepada ahli mistik yang mengaitkan janji-janji tertentu dengan doa-doa tertentu. Wahyu peribadi dan janji-janji itu mesti sentiasa dinilai oleh Gereja. Jika diluluskan, kita boleh mempercayai bahawa Allah menawarkan rahmat istimewa melalui doa-doa tersebut. Namun, yang penting ialah kita mendapatkan bimbingan Gereja kita berkenaan semua wahyu peribadi.
