Bacaan Kitab Suci: Kisah Para Rasul 1:1–11
Pilihan: Lukas 24:50–52
Konteks: Petikan di bawah daripada Kisah Para Rasul bermula dengan arahan Yesus kepada para murid supaya tetap tinggal di Yerusalem dan menantikan kedatangan Roh Kudus yang dijanjikan oleh Bapa. Maka mereka menunggu selama empat puluh hari.
Pada hari keempat puluh, Yesus benar-benar menampakkan diri kepada sebelas Rasul yang masih ada dan menyuruh mereka pergi mewartakan Injil hingga ke hujung bumi. Dia berjanji bahawa Roh Kudus akan datang kepada mereka tidak lama lagi supaya mereka dapat melaksanakan peranan mereka sebagai saksi Kristus. Dalam erti kata yang sebenarnya, seorang “saksi” ialah seorang martir. Setiap Rasul ini, dengan caranya sendiri, akan mengambil bahagian dalam kemartiran ini.
Kemudian Yesus pergi ke Bukit Zaitun bersama para Rasul, lalu Dia diangkat ke syurga. Ketika Dia naik ke syurga, dua malaikat berbicara kepada para Rasul. Mereka diberitahu bahawa Yesus akan kembali pada suatu hari nanti, lalu mereka semua beredar.
Ignatius tidak menyertakan meditasi tentang Pentakosta, iaitu kedatangan Roh Kudus yang sesungguhnya, sebaliknya mengakhiri meditasi Kitab Sucinya di sini. Mungkin salah satu sebabnya ialah tumpuan Ignatius dalam meditasi-meditasi ini adalah pada kehidupan Kristus, Tuhan kita. Pentakosta, iaitu kedatangan Roh Kudus, merupakan langkah seterusnya dalam kehidupan Gereja dan semua umat Kristian.
Gunakan meditasi ini khususnya untuk merenungkan panggilan yang telah anda terima juga untuk menjadi saksi Kristus. Anda dipanggil untuk tidak menahan apa-apa pun, tetapi memberikan segala-galanya demi Kristus dan Injil. Pelaksanaan kehendak Allah dengan sempurna bukan sahaja bererti mengasihi Allah, tetapi juga mengasihi sesama. Dan tiada cara yang lebih baik untuk mengasihi sesama selain berkongsi dengan mereka Injil dan kemuliaan Kristus yang telah bangkit.
Renungan: Renungkanlah Kisah Para Rasul 1:1–12 (Pilihan: Lukas 24:50–52) dalam suasana doa, dengan menggunakan kaedah meditasi dan kontemplasi yang sudah biasa anda amalkan.
Perkara Pilihan untuk Direnungkan:
- Mereka diberi suatu perutusan.
- Mereka dijanjikan kuasa luar tabii dengan kedatangan Roh Kudus.
- Mereka dipanggil untuk menjadi saksi, menjadi martir.
- Kemartiran dianggap sebagai tapak semaian yang membolehkan Gereja menghasilkan buah. Ini suatu paradoks yang besar.
- Renungkanlah peristiwa sebenar kenaikan Kristus ke syurga.
- Mengapakah Dia naik ke syurga dengan tubuh-Nya?
- Renungkanlah janji bahawa Dia akan kembali.
- Bayangkanlah kedatangan-Nya yang terakhir itu, iaitu hari Penghakiman.
- Renungkanlah misi anda untuk membuat persediaan.
Imej Pilihan: Kenaikan ke Syurga, Paul Gustave Doré
Pengenalan kepada Renungan untuk Musim Paskah
- Kebangkitan Yesus dan Penampakan Pertama
- Penampakan Kedua
- Penampakan Ketiga
- Penampakan Keempat
- Penampakan Kelima
- Penampakan Keenam
- Penampakan Ketujuh
- Penampakan Kelapan
- Penampakan Kesembilan
- Penampakan Tambahan
- Kenaikan Yesus ke Syurga
- Kontemplasi untuk Mencapai Kasih Ilahi
