Bahasa Melayu

S. Mengangkat Tangan Semasa Doa “Bapa Kami”

S. Di gereja, kami disuruh mengangkat tangan semasa doa Bapa Kami. Saya masih sukar memahami mengapa ini dilakukan hanya semasa Misa. Sekarang ada yang mengangkat tangan dan ada yang tidak. Yang manakah betul? 

J. Ini soalan yang baik dan praktikal; ramai orang turut mengalami kekeliruan yang sama seperti anda. Di sesetengah gereja, semua orang berpegangan tangan semasa doa Bapa Kami; kadangkala umat mengangkat kedua-dua belah tangan ketika doksologi pada penghujung doa itu; dan di sesetengah gereja pula, tiada sesiapa yang melakukan kedua-duanya. Jadi, yang manakah betul?

Mari kita mulakan dengan nilai berpegangan tangan ketika berdoa, malah juga mengangkat tangan semasa berdoa. Dari situ, kita boleh meneliti amalan ini dalam Liturgi itu sendiri.

Perlu diperhatikan bahawa paderi mengangkat tangan ketika berdoa sebagai sebahagian daripada ritus liturgi. Perbuatan mengangkat tangan ketika berdoa disebut dalam Mazmur dan merupakan perbuatan yang sangat suci. Tiada apa-apa yang salah dengannya. Malah, sikap tubuh secara lahiriah ini mempunyai nilai yang sangat suci apabila mengungkapkan niat batin. Niat batin yang dilambangkan oleh tangan yang diangkat ialah penyembahan dan keterbukaan kepada Allah. Ini tanda penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah dan kepada kehendak-Nya yang kudus. Maka, angkatlah tangan anda tinggi-tinggi ketika berdoa, terutama ketika bersendirian.

Tentang berpegangan tangan semasa berdoa pula, memang ada waktu yang sangat sesuai untuk berbuat demikian. Ini tanda lahiriah yang menunjukkan bahawa anda bersatu dengan mereka yang berdoa bersama anda. Kesatuan ini terutamanya terhasil melalui persatuan kita bersama dengan Allah, tetapi ada kalanya kesatuan juga diungkapkan secara lahiriah dengan berpegangan tangan atau mengangkat tangan bersama-sama. Hal ini khususnya berlaku dalam kalangan ahli keluarga dan sahabat rapat.

Namun, sekarang kita beralih kepada inti soalan ini.  Bagaimana pula dengan melakukan amalan-amalan ini dalam Liturgi?  Adakah ini baik?  Persoalan yang kita hadapi di sini berkaitan dengan pentingnya keseragaman dalam Liturgi.  Doa liturgi bertujuan menyatukan kita secara rohani.  Namun, kesatuan lahiriah juga penting.  Oleh itu, penting bagi kita untuk berusaha berdoa selaras dengan apa yang kita sebut sebagai rubrik Misa.

Mengenai rubrik semasa doa Bapa Kami, tiada arahan diberikan kepada umat untuk berpegangan tangan atau mengangkat tangan pada waktu itu.  Bukannya amalan itu tidak baik, cuma amalan itu tidak terkandung dalam rubrik.  Oleh itu, nampaknya lebih baik kita mengelakkan perbuatan ini jika ia mengganggu perhatian orang lain atau membuat mereka berasa terpaksa melakukannya.  Sebagai contoh, memegang tangan orang yang tidak dikenali di sebelah anda semasa doa Bapa Kami mungkin dilakukan dengan niat yang baik, tetapi perbuatan itu bukan sebahagian daripada rubrik Misa, maka ia patut dielakkan.

Satu cadangan ialah, jika ini merupakan kebiasaan setempat dan dijangkakan akan dilakukan, anda boleh sahaja mengikut arahan yang diberikan oleh paderi.  Jika beliau meminta anda berpegangan tangan atau mengangkat tangan, maka tidak mengapa untuk melakukannya.  Paderi sepatutnya memberikan sedikit panduan tentang hal ini, tetapi jika beliau tidak berbuat demikian, cubalah melakukannya secara tidak menonjol dalam kalangan ahli keluarga sahaja, jika ini merupakan amalan keluarga anda.  Sebaik-baiknya, Gereja sejagat pada akhirnya akan memberikan panduan tentang hal ini supaya segala kekeliruan dapat dielakkan.