Bahasa Melayu

Koronka untuk Memohon Kerahiman agar Dapat Mengampuni Orang Lain

Pengenalan kepada Kaplet Ini

Mengampuni seseorang yang telah melukai hati anda boleh menjadi sangat sukar. Hal ini bukanlah sesuatu yang dapat anda lakukan dalam sekelip mata. Ia memerlukan banyak rahmat dan penyerahan diri kepada Allah. Ia juga memerlukan banyak doa.

Yesus tidak pernah meminta kita melakukan sesuatu yang Dia sendiri tidak sanggup lakukan. Dari Salib, Dia mengampuni mereka yang baru sahaja memperlakukan-Nya dengan begitu kejam. Kaplet di bawah ini disusun untuk membantu mereka yang bergelut untuk mengampuni orang lain. Jika inilah yang anda alami, doakanlah kaplet ini setiap hari agar Allah dapat membebaskan anda daripada beban ini.

Kaplet berikut (yang berbeza daripada Kaplet Kerahiman Ilahi) juga didoakan dengan menggunakan rantai rosari. Doa-doanya diambil daripada Kitab Suci:

Doa pertama berasal daripada Santo Stefanus, martir Kristian yang pertama. Dia mengucapkannya sejurus sebelum meninggal dunia akibat direjam dengan batu:

Tuhan, janganlah tanggungkan dosa ini atas mereka.  Kisah Para Rasul 7:60

Doa kedua berasaskan kata-kata Yesus sendiri ketika Dia tergantung dalam keadaan nazak di Kayu Salib:

Bapa, ampunilah mereka, kerana mereka tidak tahu apa yang mereka lakukan. Lukas 23:34

Kaplet

Mulakan dengan satu doa Bapa Kami, satu doa Salam Maria dan Syahadat Para Rasul.

Bapa kami yang ada di syurga, dimuliakanlah nama-Mu; datanglah kerajaan-Mu, jadilah kehendak-Mu di atas bumi seperti di dalam syurga. Berilah kami rezeki pada hari ini; dan ampunilah kesalahan kami seperti kami pun mengampuni yang bersalah kepada kami; dan janganlah masukkan kami ke dalam percubaan, tetapi bebaskanlah kami daripada yang jahat. Amin.


Salam Maria, penuh rahmat. Tuhan sertamu. Terpujilah engkau antara wanita, dan terpujilah buah tubuhmu, Yesus. Santa Maria, Bonda Allah, doakanlah kami yang berdosa ini, sekarang dan waktu kami mati. Amin.


Aku percaya akan Allah, Bapa yang Maha Kuasa, Pencipta langit dan bumi; dan akan Yesus Kristus, Putera-Nya yang tunggal, Tuhan kita: yang dikandung daripada Roh Kudus, dilahirkan oleh Perawan Maria; menderita di bawah pemerintahan Pontius Pilatus, disalibkan, wafat dan dimakamkan. Dia turun ke neraka; pada hari ketiga Dia bangkit daripada antara orang mati; Dia naik ke syurga, duduk di sebelah kanan Allah Bapa yang Maha Kuasa; dari situ Dia akan datang untuk mengadili orang hidup dan orang mati. Aku percaya akan Roh Kudus, Gereja Katolik yang kudus, persekutuan para kudus, pengampunan dosa, kebangkitan badan, dan kehidupan kekal. Amin.


Pada manik besar bagi setiap persepuluhan rosari, berdoalah:

“Tuhan, janganlah tanggungkan dosa ini atas mereka,” kerana Engkau penuh dengan kerahiman dan belas kasihan terhadap semua orang. Kurniakanlah kepadaku rahmat untuk mengampuni agar aku dapat meneladani kasih-Mu yang sempurna…

Kemudian, pada sepuluh manik kecil dalam setiap dekad rosari, berdoalah:

Bapa, ampunilah mereka, kerana mereka tidak tahu apa yang mereka lakukan.

Akhirilah kelima-lima persepuluhan dengan mengucapkan tiga kali:

Tuhan Yesus, Putera Allah yang Hidup, kasihanilah aku yang berdosa ini. 

Amin.


Doa-doa Lain

Renungan Harian