
Lima Belas Doa Santa Brigitta kepada Tuhan Kita Yesus Kristus yang Menderita
Sejak sekian lama, Santa Brigitta ingin mengetahui jumlah luka yang diterima oleh Tuhan kita semasa Sengsara-Nya. Pada suatu hari, Dia menampakkan diri kepadanya dan bersabda, “Aku menerima 5,480 pukulan pada Tubuh-Ku. Jika engkau ingin menghormatinya dengan suatu cara, daraskanlah 15 doa Bapa Kami dan 15 doa Salam Maria berserta doa-doa berikut selama setahun penuh. Apabila genap setahun, engkau telah menghormati setiap satu Luka-Ku.”
Satu – Dua – Tiga – Empat – Lima – Enam – Tujuh – Lapan – Sembilan – Sepuluh – Sebelas – Dua Belas – Tiga Belas – Empat Belas – Lima Belas
Bapa Kami – Salam Maria
Ya Yesus Kristus! Kemanisan Abadi bagi mereka yang mengasihi-Mu, sukacita yang melampaui segala sukacita dan segala keinginan, Keselamatan dan Harapan semua pendosa, Engkau telah membuktikan bahawa tiada keinginan-Mu yang lebih besar daripada berada dalam kalangan manusia, bahkan mengambil kodrat manusia apabila genap masanya demi kasih-Mu kepada manusia. Kenanglah segala penderitaan yang telah Engkau tanggung sejak saat Engkau dikandung, khususnya semasa Sengsara-Mu, sebagaimana yang telah ditetapkan dan diatur sejak kekekalan dalam rancangan Ilahi.
Ingatlah, ya Tuhan, bahawa semasa Perjamuan Terakhir bersama murid-murid-Mu, setelah membasuh kaki mereka, Engkau memberikan Tubuh dan Darah-Mu yang Mahamulia kepada mereka, dan sambil menghiburkan mereka dengan penuh kelembutan, Engkau memberitahu mereka terlebih dahulu tentang Sengsara-Mu yang bakal tiba.
Ingatlah kesedihan dan kepahitan yang Engkau alami dalam Jiwa-Mu, sebagaimana Engkau sendiri memberikan kesaksian dengan berkata: “Jiwa-Ku amat sedih, seperti hendak mati.”
Ingatlah segala ketakutan, keperitan batin dan kesakitan yang Engkau tanggung dalam Tubuh-Mu yang lembut sebelum seksaan penyaliban, apabila, setelah berdoa tiga kali dengan bermandikan peluh darah, Engkau dikhianati oleh Yudas, murid-Mu, ditangkap oleh orang daripada bangsa yang telah Engkau pilih dan muliakan, dituduh oleh saksi-saksi palsu, serta diadili secara tidak adil oleh tiga orang hakim ketika Engkau masih di puncak usia muda dan pada musim Paskah yang penuh khidmat.
Ingatlah bahawa pakaian-Mu ditanggalkan dan Engkau dikenakan pakaian ejekan; bahawa Wajah dan Mata-Mu ditutup, bahawa Engkau ditumbuk, dimahkotai duri, sebatang buluh diletakkan di Tangan-Mu, bahawa Engkau diremukkan dengan pukulan serta dihujani penghinaan dan celaan.
Demi mengenangkan segala kesakitan dan penderitaan yang telah Engkau tanggung sebelum Sengsara-Mu di Salib, kurniakanlah kepadaku, sebelum kematianku, penyesalan dosa yang sejati, pengakuan dosa yang ikhlas dan menyeluruh, penyilihan yang layak serta pengampunan segala dosaku. Amin.
Bapa Kami – Salam Maria
Ya Yesus! Kebebasan sejati para malaikat, Firdaus penuh kenikmatan, ingatlah kengerian dan kesedihan yang Engkau tanggung ketika musuh-musuh-Mu, seperti singa yang mengganas, mengepung-Mu dan menyeksa-Mu sesuka hati dengan beribu-ribu penghinaan, ludahan, pukulan, luka koyakan dan kekejaman lain yang belum pernah didengar. Demi segala seksaan dan kata-kata penghinaan ini, aku merayu kepada-Mu, ya Penyelamatku, bebaskanlah aku daripada semua musuhku, yang kelihatan mahupun yang tidak kelihatan, dan bawalah aku, di bawah perlindungan-Mu, kepada kesempurnaan keselamatan kekal. Amin.
Bapa Kami – Salam Maria
Ya Yesus! Pencipta langit dan bumi, yang tidak dapat dilingkungi atau dibatasi oleh apa-apa pun, Engkau yang merangkul dan memelihara segala-galanya di bawah kuasa-Mu yang penuh kasih, ingatlah kesakitan yang amat perit yang Engkau tanggung ketika orang Yahudi memakukan Tangan dan Kaki-Mu yang Kudus pada Salib dengan pukulan demi pukulan menggunakan paku besar yang tumpul. Oleh sebab keadaan-Mu belum cukup menyedihkan untuk memuaskan kemarahan mereka, mereka membesarkan Luka-luka-Mu dan menambahkan kesakitan demi kesakitan, lalu dengan kekejaman yang tidak terungkapkan, mereka meregangkan Tubuh-Mu di Salib dan menarik-Mu dari segala arah sehingga sendi-sendi Anggota-Mu terkehel.
Aku memohon kepada-Mu, ya Yesus, demi mengenangkan penderitaan Salib yang penuh kasih ini, kurniakanlah kepadaku rahmat untuk takut akan Dikau dan mengasihi-Mu. Amin.
Bapa Kami – Salam Maria
Ya Yesus! Tabib Syurgawi, yang ditinggikan di Salib untuk menyembuhkan luka-luka kami dengan Luka-luka-Mu, ingatlah lebam-lebam yang Engkau deritai dan kelemahan seluruh Anggota-Mu yang diregangkan sedemikian rupa sehingga tiada kesakitan yang pernah menyamai kesakitan-Mu. Dari ubun-ubun Kepala-Mu hingga ke Telapak Kaki-Mu, tiada satu tempat pun pada Tubuh-Mu yang tidak terseksa. Namun, dengan melupakan segala penderitaan-Mu, Engkau tidak henti-henti berdoa kepada Bapa-Mu di Syurga bagi musuh-musuh-Mu, dengan berkata: “Bapa, ampunilah mereka kerana mereka tidak tahu apa yang mereka lakukan.”
Melalui Kerahiman yang besar ini, dan demi mengenangkan penderitaan ini, kurniakanlah agar kenangan akan Sengsara-Mu yang Amat Perit menghasilkan dalam diri kami penyesalan dosa yang sempurna serta pengampunan segala dosa kami. Amin.
Bapa Kami – Salam Maria
Ya Yesus! Cermin kemuliaan abadi, ingatlah kesedihan yang Engkau alami ketika, sambil merenungkan dalam terang Keilahian-Mu penentuan sejak semula bagi mereka yang akan diselamatkan berkat jasa Sengsara-Mu yang Kudus, Engkau pada masa yang sama melihat begitu ramai orang yang ditolak, yang akan dihukum kekal kerana dosa-dosa mereka, lalu Engkau meratap dengan penuh kepiluan atas para pendosa malang yang binasa tanpa harapan itu.
Demi belas kasihan dan rasa hiba-Mu yang begitu mendalam, dan terutama demi kebaikan yang Engkau tunjukkan kepada penyamun yang baik ketika Engkau bersabda kepadanya: “Hari ini juga engkau akan bersama-Ku di Firdaus.” Aku memohon kepada-Mu, ya Yesus yang manis, agar pada saat kematianku, Engkau menunjukkan kerahiman-Mu kepadaku. Amin.
Bapa Kami – Salam Maria
Ya Yesus! Raja yang dikasihi dan amat didambakan, ingatlah kedukaan yang Engkau tanggung ketika Engkau, dalam keadaan telanjang dan seperti seorang penjenayah biasa, dipakukan dan diangkat pada Salib, ketika semua saudara dan sahabat-Mu meninggalkan Engkau, kecuali Bonda-Mu yang terkasih, yang tetap berada dekat dengan-Mu sepanjang sengsara-Mu dan yang Engkau serahkan kepada murid-Mu yang setia ketika Engkau bersabda kepada Maria: “Ibu, lihatlah anakmu!” dan kepada Santo Yohanes: “Anak, lihatlah ibumu!”
Aku memohon kepada-Mu, ya Penyelamatku, demi pedang dukacita yang menusuk jiwa Bonda-Mu yang kudus, agar Engkau berbelas kasihan kepadaku dalam segala kesusahan dan kesengsaraanku, baik jasmani mahupun rohani, serta menolong aku dalam segala cubaanku, terutama pada saat kematianku. Amin.
Bapa Kami – Salam Maria
Ya Yesus! Sumber belas kasihan yang tidak pernah kering, Engkau yang, dalam ungkapan Kasih yang begitu mendalam, bersabda dari Salib: “Aku dahaga!”, menanggung kehausan demi keselamatan umat manusia. Aku memohon kepada-Mu, ya Penyelamatku, agar Engkau menyalakan dalam hati kami keinginan untuk menuju kesempurnaan dalam segala perbuatan kami; dan memadamkan dalam diri kami hawa nafsu kedagingan serta keinginan duniawi yang membara. Amin.
Bapa Kami – Salam Maria
Ya Yesus! Kemanisan hati, sukacita roh, demi kepahitan cuka dan hempedu yang Engkau kecapi di Salib kerana Kasih-Mu kepada kami, kurniakanlah kepada kami rahmat untuk menyambut Tubuh dan Darah-Mu yang Mulia dengan layak sepanjang hidup kami dan pada saat kematian kami, agar menjadi penawar dan penghiburan bagi jiwa kami. Amin.
Bapa Kami – Salam Maria
Ya Yesus! Keutamaan rajawi, sukacita akal budi, ingatlah kesakitan yang Engkau tanggung ketika tenggelam dalam lautan kepahitan menjelang kematian, dihina dan dicerca oleh orang Yahudi, Engkau berseru dengan suara lantang bahawa Engkau telah ditinggalkan oleh Bapa-Mu, dengan berkata: “Allah-Ku, Allah-Ku, mengapa Engkau meninggalkan Aku?”
Demi penderitaan batin ini, aku memohon kepada-Mu, ya Penyelamatku, agar Engkau tidak meninggalkan aku dalam kengerian dan kesakitan saat kematianku. Amin.
Bapa Kami – Salam Maria
Ya Yesus! Engkaulah awal dan akhir segala sesuatu, kehidupan dan keutamaan; ingatlah bahawa demi kami, Engkau telah tenggelam dalam jurang penderitaan dari telapak Kaki-Mu hingga ke ubun-ubun Kepala-Mu. Demi betapa dahsyatnya Luka-Luka-Mu, ajarlah aku untuk mematuhi Perintah-Perintah-Mu dengan kasih yang murni, kerana jalannya luas dan mudah bagi mereka yang mengasihi-Mu. Amin.
Bapa Kami – Salam Maria
Ya Yesus! Jurang kerahiman yang dalam, aku memohon kepada-Mu, dengan mengenangkan Luka-Luka-Mu yang menembusi hingga ke sumsum Tulang-Mu dan ke kedalaman Diri-Mu, agar Engkau menarik aku, seorang pendosa yang malang dan dibebani oleh kesalahan-kesalahanku, menjauhi dosa dan menyembunyikan aku daripada Wajah-Mu yang murka terhadapku dengan adil; sembunyikanlah aku dalam Luka-Luka-Mu sehingga kemarahan dan kemurkaan-Mu yang adil berlalu. Amin.
Bapa Kami – Salam Maria
Ya Yesus! Cermin Kebenaran, lambang kesatuan, ikatan Kasih, ingatlah begitu banyak luka yang meliputi-Mu dari kepala hingga ke kaki, yang mengoyakkan tubuh-Mu dan memerahkannya dengan Darah-Mu yang patut disembah yang tertumpah. Oh, betapa besar kesakitan yang Engkau tanggung di seluruh Tubuh-Mu yang perawan kerana Kasih-Mu kepada kami! Ya Yesus yang termanis! Apakah lagi yang dapat Engkau lakukan bagi kami yang belum Engkau lakukan! Semoga buah penderitaan-Mu diperbaharui dalam jiwaku dengan setia mengenangkan Sengsara-Mu, dan semoga Kasih-Mu bertambah dalam hatiku setiap hari, sehingga aku melihat Engkau dalam keabadian, Engkau yang menjadi khazanah segala kebaikan sejati dan segala sukacita, yang aku mohon agar Engkau kurniakan kepadaku di Syurga, ya Yesus yang termanis. Amin.
Bapa Kami – Salam Maria
Ya Yesus! Singa yang perkasa, Raja yang abadi dan tidak terkalahkan, ingatlah kesakitan yang Engkau tanggung ketika segala kekuatan-Mu, baik moral mahupun jasmani, telah habis sama sekali, lalu Engkau menundukkan Kepala-Mu sambil bersabda: “Sudah selesai!”
Demi penderitaan batin dan kedukaan ini, aku memohon kepada-Mu, Tuhan Yesus, agar Engkau berbelas kasihan kepadaku pada saat kematianku, ketika fikiranku akan sangat terganggu dan jiwaku akan menderita. Amin.
Bapa Kami – Salam Maria
Ya Yesus! Putera Tunggal Bapa, Sinar Kemuliaan dan gambaran hakikat-Nya, ingatlah bagaimana Engkau dengan tulus dan rendah hati menyerahkan Jiwa-Mu kepada Bapa-Mu yang Kekal, dengan berkata: “Ya Bapa, ke dalam Tangan-Mu Kuserahkan Roh-Ku!” Dan dengan Tubuh-Mu yang terkoyak-koyak, Hati-Mu yang hancur, serta lubuk Kerahiman-Mu yang terbuka untuk menebus kami, Engkau menghembuskan nafas terakhir. Demi Kematian-Mu yang amat berharga ini, aku memohon kepada-Mu, ya Raja Para Kudus, hiburkanlah aku dan bantulah aku melawan iblis, daging dan dunia, supaya dengan mati terhadap dunia, aku dapat hidup bagi-Mu sahaja. Aku memohon kepada-Mu agar pada saat kematianku, Engkau menerima aku, seorang peziarah dan orang buangan yang kembali kepada-Mu. Amin.
Bapa Kami – Salam Maria
Ya Yesus! Pokok Anggur yang sejati dan berbuah lebat! Ingatlah akan Darah yang Engkau curahkan dengan begitu murah hati dan berlimpah-limpah daripada Tubuh-Mu yang Suci, seperti sari anggur yang mengalir di tempat pemerasan anggur.
Dari Lambung-Mu, yang ditikam dengan tombak oleh seorang askar, mengalirlah darah dan air sehingga tidak tinggal setitis pun dalam Tubuh-Mu. Akhirnya, seperti seberkas mur yang diangkat ke puncak Salib, Daging-Mu yang lembut itu hancur, isi Tubuh-Mu sendiri menjadi layu, dan Sumsum Tulang-Mu menjadi kering.
Demi Sengsara yang pahit ini dan demi pencurahan Darah-Mu yang Mahamulia, aku memohon kepada-Mu, ya Yesus yang termanis, terimalah jiwaku ketika aku berada dalam penderitaan menjelang ajal. Amin.
Doa Penutup
Ya Yesus yang termanis! Tusuklah hatiku supaya air mata penyesalan dan kasihku menjadi rotiku siang dan malam; semoga aku berbalik sepenuhnya kepada-Mu, semoga hatiku menjadi tempat kediaman-Mu selama-lamanya, semoga percakapanku berkenan kepada-Mu, dan semoga pengakhiran hidupku begitu terpuji sehingga aku layak memperoleh Syurga dan di sana, bersama para kudus-Mu, memuji-Mu selama-lamanya.
Amin.
Imej utama: Carlston Marcks, CC BY-SA 4.0, melalui Wikimedia Commons
