Bahasa Melayu

Minggu Kedua Paskah

Dilahirkan Semula

Isnin dalam Minggu Kedua Paskah

“Amin, amin, Aku berkata kepadamu, jika seseorang tidak dilahirkan daripada air dan Roh, dia tidak dapat masuk ke dalam Kerajaan Allah.”  Yohanes 3:5

Adakah anda sudah dilahirkan semula?  Soalan ini sering ditanyakan dalam kalangan umat Kristian evangelikal.  Namun, soalan ini juga patut kita tanyakan kepada diri kita sendiri.  Jadi, adakah anda sudah dilahirkan semula?  Dan apakah sebenarnya maksudnya?

Semoga setiap seorang daripada kita menjawab soalan itu dengan “Ya!” yang sepenuh hati.  Kitab Suci menyatakan dengan jelas bahawa kita mesti menerima kelahiran baharu dalam Kristus.  Diri yang lama mesti mati dan diri yang baharu mesti dilahirkan semula.  Inilah makna menjadi seorang Kristian.  Kita menjalani kehidupan baharu dalam Kristus.

Kelahiran semula berlaku melalui air dan Roh Kudus.  Hal ini berlaku dalam pembaptisan.  Apabila kita dibaptis, kita masuk ke dalam air dan mati bersama Kristus.  Apabila kita bangkit daripada air, kita dilahirkan semula dalam Dia.  Ini bermakna bahawa pembaptisan menghasilkan sesuatu yang sungguh menakjubkan dalam diri kita.  Ini bermakna bahawa melalui pembaptisan, kita diangkat menjadi anak Allah dan mengambil bahagian dalam kehidupan Tritunggal Mahakudus sendiri.  Bagi kebanyakan kita, pembaptisan berlaku ketika kita masih bayi.  Pembaptisan merupakan salah satu perkara yang jarang kita fikirkan.  Namun, kita patut memikirkannya.

Pembaptisan ialah sakramen yang mempunyai kesan berterusan dan kekal dalam kehidupan kita.  Sakramen ini menerapkan suatu meterai yang tidak dapat dihapuskan pada jiwa kita.  “Meterai” ini merupakan sumber rahmat yang berterusan dalam kehidupan kita.  Meterai ini bagaikan perigi rahmat yang tidak pernah kering.  Daripada perigi ini, kita sentiasa dipelihara dan diperbaharui agar dapat menghayati martabat yang menjadi panggilan kita.  Daripada perigi ini, kita dikurniai rahmat yang kita perlukan untuk hidup sebagai putera dan puteri Bapa kita di Syurga.

Renungkanlah Pembaptisan anda sendiri pada hari ini. Lebih daripada waktu-waktu lain, Paskah ialah masa kita dipanggil untuk memperbaharui Sakramen ini. Air suci ialah satu cara yang baik untuk berbuat demikian. Mungkin apabila anda berada di gereja nanti, eloklah anda dengan sedar mengingatkan diri tentang pembaptisan anda, serta martabat dan rahmat yang telah dikurniakan kepada anda melalui sakramen ini, dengan membuat tanda salib pada dahi menggunakan air suci. Pembaptisan telah menjadikan anda ciptaan baharu. Sepanjang musim Paskah ini, berusahalah untuk memahami dan juga menghayati kehidupan baharu yang telah dikurniakan kepada anda.

Bapa Syurgawi, pada hari ini aku memperbaharui pembaptisanku. Aku menolak dosa untuk selama-lamanya dan mengakui imanku kepada Kristus Yesus, Putera-Mu. Kurniakanlah kepadaku rahmat yang kuperlukan untuk hidup sesuai dengan martabat yang telah menjadi panggilanku. Yesus, aku menaruh kepercayaan kepada-Mu.


Kesan Karya Roh Kudus

Selasa dalam Minggu Kedua Paskah

Yesus berkata kepada Nikodemus: “‘Kamu mesti dilahirkan dari atas.’  Angin bertiup ke mana sahaja yang dikehendakinya, dan kamu dapat mendengar bunyinya, tetapi kamu tidak tahu dari mana datangnya atau ke mana perginya; demikianlah halnya dengan setiap orang yang dilahirkan daripada Roh.”  Yohanes 3:7-8

Adakah anda merasakan kehadiran Roh Kudus dalam kehidupan anda?  Dalam petikan ini, Yesus memberikan suatu gambaran tentang bagaimana Roh Kudus berkarya dalam diri kita.  Dia mengibaratkan Roh Kudus seperti angin.  Kita dapat mendengar angin bertiup tetapi tidak dapat melihatnya.  Namun, kita dapat menyedari kesan angin itu.  Sebagai contoh, apabila anda melihat sebatang pokok bergoyang, anda tahu bahawa angin sedang bertiup.

Demikian juga halnya dengan Roh Kudus dalam hidup kita. Walaupun kita mungkin tidak dapat mengetahui melalui pancaindera dari mana Roh Kudus datang, kita akan dapat melihat kesan karya Roh. Apabila kita menyedari adanya kekuatan baharu dalam diri kita, atau pertumbuhan dalam kebajikan, atau kemampuan untuk mengampuni, dan sebagainya, kita sedar bahawa Roh Kudus hadir, memimpin kita, mengubah kita dan membimbing kita.

Selain itu, kita tidak tahu ke mana angin pergi selepas berlalu.  Demikianlah halnya dengan Roh Kudus.  Jika kehidupan kita berada di bawah kuasa dan pemeliharaan Roh Kudus, kita tidak tahu ke mana kita akan dipimpin.  Roh Kudus memimpin kita pada setiap saat, tetapi biasanya tidak menyingkapkan seluruh masa depan kita.  Kita mesti rela dipimpin oleh kehadiran Allah yang lemah lembut setiap hari, sambil membiarkan diri kita digerakkan ke sana dan ke sini.  Hal ini memerlukan kepercayaan dan penyerahan diri yang mendalam. 

Renungkanlah pada hari ini kehadiran Roh Kudus yang penuh kuasa dalam kehidupan anda.  Perhatikanlah kesan karya Roh Kudus untuk menilai sama ada anda benar-benar sedang dipimpin oleh Allah atau tidak.  Biarkanlah diri anda dipimpin dan digerakkan oleh Nafas Allah, dan nantikanlah perkara-perkara besar dalam kehidupan anda. 

Datanglah, Roh Kudus, perbaharuilah rahmat Pembaptisanku dalam diriku dan pimpinlah aku setiap hari menurut kehendak ilahi-Mu. Aku menyerahkan diriku sepenuhnya kepada pemeliharaan-Mu yang mulia dan mempercayai dorongan yang timbul daripada kehadiran-Mu dalam hidupku. Yesus, aku menaruh kepercayaan kepada-Mu.


Apakah yang Lebih Anda Sukai?

Rabu dalam Minggu Kedua Paskah

Dan inilah penghakiman itu: terang telah datang ke dunia, tetapi manusia lebih menyukai kegelapan daripada terang, kerana perbuatan mereka jahat. Yohanes 3:19

Betapa anehnya hal ini, namun sungguh benar. Allah Bapa mengutus Putera ke dunia untuk menjadi Terang bagi kita semua. Dialah Terang yang mengusir segala kegelapan. Namun, menurut Injil di atas, “manusia lebih menyukai kegelapan daripada terang.” Mereka lebih menyukai dosa mereka sendiri daripada kebebasan daripada dosa. Mengapakah demikian?

Sebagai contoh kenyataan ini, kita hanya perlu menonton berita atau membaca surat khabar. Nampaknya 90% daripada apa yang dilaporkan dalam media berita ialah paparan kegelapan yang disensasikan. Kita mendengar tentang pembunuhan demi pembunuhan atau skandal demi skandal. Mengapakah media begitu menumpukan perhatian pada hal ini? Kerana itulah yang laris. Dan mengapakah hal itu laris? Kerana terlalu kerap kita lebih tertarik kepada kegelapan daripada terang. 

Sudah tentu, bukan semua orang begitu. Ramai orang langsung tidak berminat dengan kegelapan dunia dan dosa-dosa di sekeliling kita yang disensasikan. Namun, hakikat bahawa kegelapan kejahatan sentiasa begitu menonjol dan menjadi tumpuan seharusnya menjadi suatu peringatan bagi kita tentang sifat manusia kita yang telah jatuh dalam dosa. Kita cenderung tertarik untuk masuk ke dalam lumpur dan terlalu kerap berasa begitu senang berada di situ.

Paskah ialah masa untuk meneliti perkara yang menarik hati anda. Adakah anda membiarkan diri anda ditarik ke dalam Terang? Adakah anda tertarik kepada perkara-perkara yang menceriakan hari anda? Adakah anda tertarik kepada pelbagai cara Allah hadir dan berkarya di dunia sekeliling anda? Semoga demikianlah halnya. Namun, kemungkinan besar masih ada sedikit tarikan ke arah kekacauan, dosa dan kegelapan. Mungkin ada pergolakan batin yang dialami oleh setiap orang. Adalah baik untuk menyedarinya, mengenal pastinya sebagai sebahagian daripada kecenderungan manusia kita yang telah jatuh dalam dosa, dan berusaha melepaskan segala minat terhadap kekacauan dan kejahatan di sekeliling kita. 

Sebagai pengikut Kristus, kita dipanggil untuk sentiasa menumpukan pandangan kepada-Nya dan kepada-Nya sahaja. Kita dipanggil untuk menembusi kegelapan dengan iman kita dan membiarkan seluruh diri kita terpikat dan ditarik kepada Kristus Yesus. Kesempurnaan bererti bahawa bahkan segala hasrat dan keinginan kita akhirnya tertarik kepada Kristus sebagai Terang kehidupan kita. 

Renungkanlah hari ini perkara yang paling menarik hati anda. Serahkanlah diri anda kepada Terang pada Musim Paskah ini. Alihkanlah pandangan anda daripada godaan untuk tertarik dan terpesona oleh kejahatan di sekeliling kita kepada pemandangan yang penuh sukacita akan Tuhan kita yang telah bangkit, yang hidup dan berkarya di sekeliling kita. Biarlah Terang ini membimbing kehidupan harian anda.

Tuhan, bantulah aku untuk hidup dalam terang. Bantulah aku untuk terus menumpukan pandanganku dengan teguh pada kemuliaan Kebangkitan-Mu. Semoga sukacita daripada memandang kemuliaan itu menjauhkan aku daripada pelbagai gangguan kejahatan yang tidak terhitung banyaknya di sekelilingku. Yesus, aku menaruh kepercayaan kepada-Mu.


Pemberian Roh Tidak Dicatu

Khamis dalam Minggu Kedua Paskah

Dia tidak mencatu pemberian Roh-Nya. Yohanes 3:34

Pada waktu perang, apabila bekalan makanan askar sedikit, mereka terpaksa mencatunya. Mereka hanya makan bahagian kecil yang disukat setiap hari supaya makanan itu bertahan selama yang mungkin. Jika mereka tidak berbuat demikian, bekalan mereka mungkin habis dan mereka akan kebuluran. 

Bagaimanakah jika hal yang sama berlaku dengan Allah dan rahmat-Nya? Bagaimanakah jika Roh Kudus berkata kepada kita, “Sekarang Aku hanya akan menolong kamu setakat yang terbatas. Setelah kamu menghabiskan rahmat yang Aku tawarkan kepadamu, kamu perlu mengurus diri sendiri.” Aduh! Itu tentu akan menjadi masalah.

Sudah tentu, berita baiknya ialah Allah bertindak dengan cara yang sama sekali bertentangan terhadap kita. Dia berjanji untuk mencurahkan Roh Kudus sepenuhnya dan menawarkan segala rahmat yang mungkin kita perlukan atau inginkan. Masalahnya ialah kita sering juga “mencatu” rahmat-Nya. Kita berbuat demikian bukan kerana kita percaya bahawa Allah terbatas. Sebaliknya, kita sering berbuat demikian kerana kita takut untuk membiarkan Allah menyatakan kuasa-Nya yang maha dahsyat dalam kehidupan kita.

Renungkanlah hari ini bagaimana kehidupan anda sekiranya anda membiarkan Allah melakukan apa sahaja yang dikehendaki-Nya terhadap diri anda. Apakah yang akan berubah? Bagaimanakah kehidupan harian anda, hubungan anda, kata-kata anda, tindakan anda dan masa depan anda akan menjadi berbeza? Dari segi akal, kita tahu bahawa menerima kehendak Allah sepenuhnya dalam segala hal ialah tindakan yang benar. Namun, apabila tiba masanya untuk benar-benar melakukannya, kita sering berasa amat ragu-ragu. Mungkin kita takut akan sesuatu yang belum diketahui. Atau mungkin kita tidak benar-benar mahu berubah. Walau apa pun sebabnya, Allah menawarkan rahmat yang tidak terbatas kepada anda melalui pencurahan Roh Kudus sepenuhnya. Terpulanglah kepada anda untuk memutuskan sama ada anda akan mencatunya atau tidak.

Tuhan, aku sungguh ingin membiarkan Engkau melakukan apa sahaja yang Engkau kehendaki dalam hidupku. Aku ingin tenggelam sepenuhnya dalam rahmat-Mu. Bantulah aku untuk berkata “Ya” kepada-Mu, walau ke mana pun jawapan itu membawaku, dan bantulah aku untuk mempercayai jawapan “Ya” yang mulia ini, yang Engkau memanggilku untuk berikan. Yesus, aku menaruh kepercayaan kepada-Mu.


Diuji

Jumaat dalam Minggu Paskah Kedua

Ketika Yesus mengangkat mata-Nya dan melihat orang ramai datang kepada-Nya, Dia berkata kepada Filipus, “Di manakah kita dapat membeli makanan yang cukup untuk mereka makan?” Dia berkata demikian untuk menguji Filipus, kerana Dia sendiri tahu apa yang akan dilakukan-Nya. Yohanes 6:5-6

Allah sentiasa tahu apa yang akan dilakukan-Nya. Dia sentiasa mempunyai rancangan yang sempurna untuk hidup kita. Sentiasa. Dalam petikan di atas, kita membaca sebahagian kecil daripada kisah mukjizat penggandaan roti dan ikan. Yesus tahu bahawa Dia akan menggandakan beberapa buku roti dan ikan yang mereka miliki, lalu memberi makan kepada lebih daripada lima ribu orang. Namun, sebelum melakukannya, Dia mahu menguji Filipus, dan itulah yang dilakukan-Nya. Mengapakah Yesus menguji Filipus, dan mengapakah Dia kadangkala menguji kita?

Bukanlah kerana Yesus ingin tahu apa yang akan dikatakan oleh Filipus. Bukan juga kerana Dia sekadar mempermainkan Filipus. Sebaliknya, Dia mengambil kesempatan ini untuk memberi Filipus peluang menyatakan imannya. Jadi, sebenarnya, “ujian” terhadap Filipus ini merupakan suatu anugerah baginya kerana ujian itu memberinya peluang untuk lulus.

Ujian itu bertujuan memberi Filipus peluang untuk bertindak berdasarkan iman, bukan semata-mata berdasarkan logik manusia. Memang baik untuk berfikir secara logik. Namun, kebijaksanaan Allah sangat kerap melampaui logik manusia. Dengan kata lain, kebijaksanaan itu membawa logik ke tahap yang sama sekali baharu. Ia membawanya ke suatu tahap yang turut mengambil kira iman kepada Allah.

Jadi, pada saat itu, Filipus dipanggil untuk menawarkan suatu penyelesaian dengan mengambil kira hakikat bahawa Putera Allah ada bersama mereka. Namun, dia gagal dalam ujian itu. Dia menyatakan bahawa upah dua ratus hari pun tidak akan cukup untuk memberi makan kepada orang ramai itu. Tetapi Andreas sedikit sebanyak membantu. Andreas menyatakan bahawa ada seorang budak lelaki yang mempunyai beberapa buku roti dan beberapa ekor ikan. Malangnya, dia menambah, “tetapi apakah gunanya semua ini untuk orang seramai ini?” 

Namun, percikan iman yang kecil dalam diri Andreas ini sudah cukup bagi Yesus untuk menyuruh orang ramai itu duduk bersandar dan melakukan mukjizat penggandaan makanan. Nampaknya, Andreas sekurang-kurangnya mempunyai sedikit kesedaran bahawa beberapa buku roti dan ikan itu penting untuk disebutkan. Yesus menerima apa yang dikemukakan oleh Andreas ini dan menguruskan selebihnya.

Renungkanlah pada hari ini betapa berharganya anugerah iman, walaupun hanya sedikit. Begitu kerap kita berada dalam keadaan sukar dan tidak tahu apa yang harus dilakukan. Kita patut berusaha untuk mempunyai sekurang-kurangnya sedikit iman supaya ada sesuatu yang dapat Yesus gunakan dalam karya-Nya. Memang, kita mungkin tidak mempunyai gambaran penuh tentang apa yang ingin dilakukan-Nya, tetapi sekurang-kurangnya kita patut mempunyai sedikit kesedaran tentang arah yang sedang ditunjukkan oleh Allah. Jika kita dapat menunjukkan sekurang-kurangnya iman yang sedikit ini, maka kita juga akan lulus ujian itu. 

Tuhan, bantulah aku untuk beriman kepada rancangan-Mu yang sempurna bagi hidupku. Bantulah aku untuk mengetahui bahawa Engkau memegang kendali apabila hidup terasa tidak terkawal. Pada saat-saat itu, semoga iman yang kutunjukkan menjadi persembahan kepada-Mu agar Engkau dapat menggunakannya demi kemuliaan-Mu. Yesus, aku menaruh kepercayaan kepada-Mu.


Mengatasi Ketakutan Sehari-hari

Sabtu dalam Minggu Paskah Kedua

Setelah mereka mendayung kira-kira tiga atau empat batu, mereka melihat Yesus berjalan di atas laut dan mendekati perahu itu, lalu mereka mula berasa takut. Tetapi Dia berkata kepada mereka, “Inilah Aku. Jangan takut.” Yohanes 6:19-20

Ungkapan yang sangat biasa kita dengar ini diucapkan sekali lagi: “Jangan takut.” 

Latar keadaan ini penting. Hari sudah gelap dan para Rasul berada di laut. Jika anda pernah berada di tengah laut ketika hari gelap, anda tentu tahu bahawa keadaan ini agak menakutkan. Anda tidak dapat melihat daratan dan berasa seolah-olah tiada apa-apa di sekeliling anda. Para Rasul tentu berasa agak kehilangan arah, seolah-olah mereka berada di suatu tempat yang tidak diketahui. 

Namun, di tengah-tengah pengalaman ini, Yesus datang berjalan ke arah mereka dan berkata kepada mereka, “Inilah Aku. Jangan takut.” Kata-kata ini tentu amat menghiburkan hati mereka. 

Dalam pengalaman para Rasul ini, kita harus melihat pengalaman harian begitu ramai orang. Ramai orang boleh berasa seolah-olah tiada apa-apa di sekeliling mereka, bersendirian dan kehilangan arah. Memang, bagi sesetengah orang, perasaan ini mungkin tidak begitu menekan, tetapi terlalu kerap juga ramai orang mengalaminya, pada tahap yang berbeza-beza. 

Petikan Injil ini memperlihatkan kepada kita bahawa Yesus datang kepada kita di mana pun kita berada atau dalam apa jua keadaan yang kita hadapi. Dia tidak menunggu kita datang mencari-Nya; sebaliknya, Dia masuk ke dalam kehidupan kita, di tempat kita berada.

Pengalaman berada di tengah laut dalam kegelapan ini datang dalam pelbagai bentuk.  Mungkin hidup anda penuh dengan kegiatan, namun anda masih berasa keseorangan.  Mungkin tidak ramai orang di sekeliling anda, dan anda sentiasa berasa terasing.  Atau mungkin anda menampilkan wajah yang ceria dan menunjukkan diri seolah-olah segala-galanya teratur, tetapi dalam hati, anda sedang bergelut dengan hebat.  Walau apa pun keadaan anda, Yesus ingin datang kepada anda dan menghiburkan anda.

Renungkanlah kata-kata Yesus ini pada hari ini.  Dengarlah Dia berkata kepada anda, “Inilah Aku.”  Apabila anda mendengar Dia mengucapkan kata-kata ini, berpalinglah kepada-Nya dan akuilah kehadiran-Nya.  Biarkanlah Dia datang ke tengah laut yang gelap yang mungkin anda rasakan sedang mengelilingi anda.  Dengarlah Dia berkata, “Jangan takut.”  Begitu banyak pengalaman dalam hidup yang boleh menimbulkan ketakutan dalam diri kita.  Begitu kerap ketakutan itu boleh menguasai kita.  Jika kita membiarkan diri kita menumpukan perhatian kepada Yesus, ketakutan terhadap keadaan sekeliling dalam kehidupan seharian kita akan lenyap.  Jauh di lubuk hati, kita mendapati bahawa Yesus benar-benar ada di situ dan bahawa segala-galanya baik kerana Dia mengambil berat dan memegang kendali.  Benarkanlah Dia masuk ke dalam perahu hati anda dan biarkanlah Dia mengambil alih.  Dia sedang datang kepada anda dan menantikan jawapan anda.

Tuhan, begitu kerap aku gagal mengakui kehadiran ilahi-Mu dalam hidupku. Begitu kerap aku gagal melihat Engkau datang kepadaku. Bantulah aku untuk mengetahui bahawa Engkau sentiasa ada. Bebaskanlah aku daripada pelbagai ketakutan dalam hidup, ya Tuhan yang kukasihi, dan berilah aku keberanian untuk menyambut-Mu sepenuhnya ke dalam hidupku. Yesus, aku menaruh kepercayaan kepada-Mu.

Minggu Ketiga Paska

Isi Kandungan


Juga Tersedia dalam Edisi Kulit Lembut & eBuku