Bahasa Melayu

S. Berapakah Bilangan Anak Maria?

S. Adakah Maria, ibu Yesus Kristus, mempunyai anak-anak lain selepas Yesus?

J. Jawapan ringkas kepada soalan ini ialah “Tidak.” Marilah kita menelitinya dengan lebih lanjut.

Kemungkinan besar anda mengajukan soalan ini kerana beberapa petikan Kitab Suci seolah-olah menunjukkan bahawa Yesus mempunyai saudara lelaki dan perempuan. Sebagai contoh, berikut ialah dua petikan sedemikian:

Markus 6:3 – Bukankah Dia tukang kayu itu, anak Maria, dan saudara Yakobus, Yoses, Yudas dan Simon? Bukankah saudara-saudara perempuan-Nya ada di sini bersama kita?”

Matius 13:55-56 – Bukankah Dia anak tukang kayu itu? Bukankah ibu-Nya bernama Maria dan saudara-saudara lelaki-Nya ialah Yakobus, Yusuf, Simon dan Yudas? Bukankah semua saudara perempuan-Nya ada bersama kita?

Patutkah kita membuat kesimpulan daripada petikan-petikan ini bahawa Yesus mempunyai saudara lelaki dan perempuan secara harfiah, yakni Maria dan Yusuf mempunyai anak-anak lain selain Yesus? Sudah tentu tidak.

Di bawah ini ialah jawapan ringkas kepada soalan ini yang dipetik daripada Bab 3 – Allah-Manusia dan Ibu-Nya dalam buku Iman Katolik Saya!

 

Bonda Perawan

Kitab Suci menyatakan dengan cukup jelas bahawa Maria mengandungkan Yesus sebagai seorang perawan – oleh kuasa Roh Kudus. Selain itu, Gereja sentiasa mengajarkan bahawa Maria tetap perawan sepanjang hayatnya. Dia tidak mempunyai anak lain dan tidak pernah melakukan hubungan suami isteri dengan Yusuf. Hal ini kadangkala mengelirukan kerana terdapat rujukan dalam Kitab Suci kepada saudara-saudara lelaki dan perempuan Yesus. Namun, ungkapan ini lazim digunakan untuk merujuk kepada sepupu. Hal ini tidak seharusnya mengelirukan kita jika kita memahami bahasa pada zaman itu. Malah, penggunaan ungkapan ini masih menjadi amalan lazim dalam budaya-budaya lain pada zaman kita. Orang dari pelbagai negara Afrika lazimnya menyebut orang dari kampung mereka sendiri sebagai saudara lelaki atau perempuan apabila mereka bersama-sama di luar kampung itu. 

Rancangan Allah ialah supaya Maria mempunyai seorang Anak sahaja, atas pelbagai sebab. Hal ini khususnya kerana kita semua dipanggil untuk menjadi saudara dan saudari Kristus melalui pengangkatan sebagai anak secara rohani. Oleh itu, jika Yesus mempunyai saudara atau saudari sedarah, hal itu akan menjejaskan persaudaraan rohani-Nya dengan mereka. Hubungan mereka dengan Yesus tentu berbeza. Allah menghendaki hubungan rohani yang lebih mendalam ini dengan semua orang. Dalam kalangan manusia, hanya Marialah yang menjadi orang tua Yesus, dan dia mempunyai ikatan yang unik dengan-Nya. Demikianlah yang harus berlaku sekiranya Allah hendak menjadi manusia sejati. Menariknya, bahkan ikatan Maria yang paling mendalam dengan Yesus bukanlah terhasil daripada pertalian darahnya secara jasmani. Ikatan itu datang, pertama-tamanya, daripada keibuannya secara rohani. Dia bersatu dengan Puteranya terutamanya melalui iman dan ketaatannya yang sempurna. Ikatan inilah yang melampaui ikatan semula jadi.


Lagi Soal Jawab Katolik