Hari Khamis dalam Minggu Prapaskah Keempat
โKemudian Iblis meninggalkan-Nya dan lihatlah, malaikat-malaikat datang dan melayani-Nyaโ (Matius 4:11). Iblis dapat mencubai Yesus kerana Yesus mengizinkannya, dan Iblis meninggalkan Yesus kerana Yesus memerintahkannya. Begitu juga dalam kehidupan kita. Satu-satunya sebab kita dicubai ialah kerana Allah mengizinkannya, dan satu-satunya cara kita mengatasi godaan ialah dengan membiarkan Allah meraih kemenangan dalam diri kita.
Yesus menghadapi godaan untuk memberikan teladan kepada kita tentang cara kita harus menanggapi godaan, dan untuk memperkasakan kodrat manusia dengan rahmat yang diperlukan untuk mengatasi godaan. Mungkin ada yang berfikir bahawa Allah sepatutnya melindungi kita daripada setiap godaan, dan tidak sekali-kali mengizinkan si jahat memikat kita dengan dustanya. Namun, menghadapi dan mengalahkan godaan bersama dan dalam Tuhan kita mempunyai nilai yang besar. Yesus hanya mengizinkan apa yang diketahui-Nya dapat kita atasi. Dia juga tahu bahawa jika kita mengatasi sesuatu godaan, keadaan kita akan menjadi lebih baik setelah mengalahkannya berbanding jika kita tidak pernah menghadapinya. Dengan mengalahkan Syaitan di padang gurun, Yesus memungkinkan kita untuk turut meraih kemenangan. Apabila itu berlaku, para malaikat kudus akan datang kepada kita dan melayani kita, sebagaimana mereka telah melayani Tuhan kita.
Yesus, yang adalah Allah, tidak memerlukan bantuan para malaikat. Namun, Dia mengizinkan pelayanan mereka dalam bentuk pujian, penyembahan dan penghiburan dalam kehidupan manusiawi-Nya untuk memberikan teladan kepada kita tentang cara Dia ingin sekali menyalurkan kekuatan-Nya kepada kita ketika menghadapi godaan. Kita sememangnya memerlukan bantuan dan pelayanan para malaikat. Dalam rancangan ilahi-Nya, Allah mengatur perantaraan hierarki syurgawi untuk menyalurkan rahmat dan kerahiman-Nya kepada kita. Makhluk ciptaan-Nya bukan sahaja menyaksikan tindakan ilahi Allah, tetapi juga mengambil bahagian dalam tindakan tersebut. Dalam hal ini, para malaikat melakukannya dengan melimpahkan kasih mereka kepada Yesus.
Pelayanan para malaikat ialah suatu topik yang amat menarik. Kitab Suci penuh dengan kisah tentang roh-roh yang melayani ini. Tradisi Katolik dan ajaran Santo Thomas Aquinas memberitahu kita bahawa terdapat sembilan koir malaikat, yang dibahagikan kepada tiga kelompok yang masing-masing terdiri daripada tiga koir. Pada saat kita diciptakan, setiap seorang daripada kita menerima pelayanan penuh kasih daripada seorang Malaikat Pelindung, yang diberikan hanya kepada seorang insan, untuk menjadi perantara rahmat dan Sabda Allah secara langsung. Para Penghulu Malaikat menyampaikan seluruh mesej Injil dan diamanahkan dengan tugas-tugas yang paling penting. Para Pemerintah membimbing bangsa-bangsa dan melayani mereka yang diamanahkan dengan kuasa duniawi, sekali gus melengkapkan kelompok syurgawi yang pertama. Dalam kelompok kedua, para Kuasa ialah malaikat pejuang yang menggagalkan kegiatan Iblis, para Keperkasaan memelihara keteraturan alam semesta dan bertanggungjawab atas mukjizat, manakala para Penguasa mentadbir koir-koir malaikat yang lebih rendah, dengan menyampaikan kepada mereka segala yang diterima daripada kelompok tertinggi. Kelompok tertinggi menumpukan perhatian pada kontemplasi murni akan Allahโpara Takhta merenungkan kuasa Allah, para Kerubim merenungkan kebijaksanaan-Nya, dan para Serafim merenungkan hakikat-Nya sendiri, iaitu kasih.
Renungkanlah pelayanan mulia para malaikat. Walaupun kita hanya akan memahami sepenuhnya hierarki syurgawi yang agung ini apabila kita berada di hadapan Penglihatan Bahagia dan menerima kepenuhan pengetahuan yang dicurahkan, penting bagi kita untuk menyatakan iman kepada para pelayan Allah, memohon perantaraan mereka, dan percaya akan rahmat yang Allah berikan kepada kita melalui mereka. Dengan meneladani Tuhan kita, undanglah roh-roh yang melayani ini untuk melayani anda hari ini, terutamanya ketika anda menghadapi dan mengatasi godaan.
Para malaikat Allah yang mulia, kamu masing-masing diciptakan untuk mengenal, mengasihi dan melaksanakan kehendak Allah. Kamu telah memilih untuk berbuat demikian dan akan selama-lamanya membantu dalam mengatur kedatangan Kerajaan Allah. Datanglah menolong aku dan limpahkanlah kepadaku setiap rahmat yang aku perlukan untuk menunaikan tugas yang telah Allah berikan kepadaku. Para malaikat Allah, bantulah aku. Yesus, aku percaya kepada-Mu.
Lihat juga:ย Hari Kedua Puluh Enam: 40 Hari di Kaki Salib
Bahan Tambahan untuk Prapaskah
Ketahui lebih lanjut tentang Sembilan Koir Malaikat!
Mendaki Hierarki Syurgawi
Tangga Emas Menuju Kemuliaan Serafim

