S. Saya bertemu dengan seorang lelaki Mormon semasa saya menghadiri kem musim panas. Dia memberitahu saya bahawa dia seorang Kristian, tetapi selama ini saya rasa saya pernah mendengar bahawa mereka bukan orang Kristian. Jadi, mereka sebenarnya tergolong dalam agama apa?
J. Soalan yang baik! Walaupun saya bukan pakar tentang agama Mormon, saya dengan senang hati akan menjelaskan sedikit persoalan ini dan malah meluaskan perbincangan kepada agama Kristian yang lain.
Salah satu kepercayaan paling utama bagi semua orang Kristian, termasuk umat Katolik, ialah bahawa Allah itu satu. Allah ini ialah Bapa, Putera dan Roh Kudus—tiga Peribadi yang berbeza, namun satu Kodrat ilahi. Konsili Nicea, pada tahun 325 M, menetapkan bahawa Putera adalah “sehakikat” dengan Bapa. Dengan kata lain, Dia mempunyai zat atau hakikat yang sama dengan Bapa. Hal ini juga berlaku bagi Roh Kudus. Allah Putera mengambil kodrat yang kedua ketika Dia menjadi manusia, maka Putera ialah Allah dan juga manusia.
Kepercayaan utama agama Kristian ini tidak dikongsi oleh agama Mormon. Penganut Mormon mendakwa bahawa mereka percaya Yesus bersifat ilahi, tetapi Dia dan Bapa tidak mempunyai kodrat ilahi yang sama. Sebaliknya, mereka percaya bahawa Bapa, Putera dan Roh Kudus ialah tiga tuhan yang berbeza. Mereka percaya bahawa ketiga-tiga tuhan ini bersatu dalam tujuan yang sama, tetapi tidak mempunyai hakikat ilahi yang satu dan tunggal.
Semua itu mungkin kedengaran mengelirukan dan terlalu bersifat falsafah, tetapi hal ini benar-benar merupakan inti kepercayaan kita sebagai orang Kristian. Oleh itu, jika seseorang menyangkal kepercayaan asas ini, iaitu bahawa Allah itu satu dan bukannya tiga tuhan, maka kita terpaksa mengatakan bahawa kepercayaannya tidak sama dengan kepercayaan kita. Jadi, wajarlah dikatakan bahawa penganut Mormon dan umat Katolik mempunyai perbezaan yang mendasar dalam kepercayaan mereka tentang Tritunggal. Namun, semua agama Protestan arus perdana mempunyai kepercayaan yang sama dengan umat Katolik tentang Tritunggal.
Jadi, apakah kesimpulannya? Kesimpulannya ialah penganut Mormon tidak berkongsi kepercayaan asas Kristian tentang Tritunggal seperti yang kita imani. Malah, perbezaan asas inilah yang menyebabkan Gereja kita tidak mengiktiraf pembaptisan mereka sebagai sah, walaupun mereka menggunakan kata-kata yang sama seperti kita. Namun, kita menerima pembaptisan Kristian yang lain sebagai Sakramen yang sah (seperti pembaptisan dalam kalangan Lutheran, Anglikan, Presbyterian, Baptis dan sebagainya). Kita menerima pembaptisan ini sebagai sah kerana denominasi Kristian tersebut berkongsi kepercayaan yang sama dengan kita tentang Tritunggal dan aspek-aspek asas iman Kristian yang lain.
Namun, jika anda berbual dengan seorang penganut Mormon, anda mungkin mendapati bahawa mereka memang mempercayai banyak perkara yang juga kita percayai. Oleh sebab itu, kita tidak menolak apa-apa yang benar dalam agama mereka. Walau bagaimanapun, kita menolak doktrin mereka tentang Tritunggal, serta beberapa kepercayaan asas mereka yang lain mengenai keselamatan, kehidupan kekal, dosa asal, syurga, wahyu dan sebagainya.
Penganut Mormon sememangnya boleh menjadi orang yang baik dan mungkin mengaku sebagai orang Kristian, tetapi kita tidak percaya bahawa mereka mempunyai kepercayaan asas yang menjadikan seseorang itu seorang Kristian.
