Kedalaman makna hakikat ini mungkin tidak terus kelihatan, tetapi hal ini wajar direnungkan sehingga kita memahaminya. Walaupun kita seharusnya sentiasa menyambut perayaan-perayaan besar dalam tahun Gereja dengan penuh sukacita, kita tidak seharusnya memandang ringan peluang yang ditawarkan oleh Masa Biasa kepada kita. Masa Biasa menawarkan peluang untuk menghayati Ekaristi dan Kitab Suci dengan cara yang sama sekali bukan biasa. Kita mesti melihat setiap peluang untuk mengambil bahagian dalam Ekaristi atau merenungkan Kitab Suci sebagai peluang untuk mengasihi dan menyembah Tuhan kita semata-mata kerana Dia ialah Tuhan kita. Yesus layak menerima segala pujian, ibadat dan penyembahan pada setiap waktu. Dan apabila segala kemeriahan perayaan-perayaan besar diketepikan, kita masih mempunyai tindakan teragung di bumi.
Jilid dalam Siri Renungan Harian Katolik ini ialah yang pertama daripada dua jilid yang merangkumi tiga puluh empat minggu Masa Biasa. Mungkin anda tidak dapat menghadiri Misa setiap hari sepanjang tahun, tetapi anda dapat menyelami Kitab Suci sepanjang tahun. Tujuan jilid ini adalah untuk membantu anda menyelami dengan lebih mendalam sabda Tuhan kita sebagaimana yang disampaikan kepada kita dalam Injil setiap hari sepanjang Minggu Pertama hingga Minggu Ketujuh Belas dalam Masa Biasa.
Injil mempunyai potensi yang tidak terbatas untuk mengubah hidup kita kerana Injil ialah Sabda Allah. Sebagai Sabda Allah, Injil bukan sekadar catatan bertulis tentang kata-kata Yesus. Injil menghadirkan Peribadi Kristus sendiri kepada kita. Maka, ketika anda meluangkan masa untuk merenungkan petikan-petikan Kitab Suci dalam buku ini serta renungan-renungan yang mengiringinya dalam suasana doa, diharapkan agar Yesus dihadirkan kepada anda secara nyata dan peribadi. Diharapkan agar setiap hari anda dijemput untuk bertemu dengan Tuhan kita sedemikian rupa sehingga hidup anda diubah dan dikuduskan. Hal ini hanya dapat berlaku jika anda bertemu dengan Tuhan kita yang hidup itu sendiri. Saya berdoa agar renungan-renungan dalam buku ini membantu anda dalam usaha suci ini.
Minggu Pertama dalam Masa Biasa
Juga Tersedia dalam Edisi Kulit Lembut & eBuku
